Makanan tak sedap & servis teruk, restoran ‘viral’ milik pelawak dikecam

Makanan tak sedap & servis teruk, restoran ‘viral’ milik pelawak dikecam

 

Tular di media sosial baru-baru ini apabila seorang individu meluahkan rasa kekecewaan gara-gara servis dan kualiti makanan yang disediakan oleh sebuah restoran milik pelawak, Danial Zaini didakwa buruk dan tidak memuaskan.

Dalam hantaran untaian Tweet panjang lebar itu, individu berkenaan difahamkan hadir ke restoran itu untuk meraikan sambutan hari jadi sahabat baiknya bersama rakan-rakan yang lain berjumlah 20 orang.

Dia juga telah membuat ‘booking’ bilik VIP bagi sambutan berkenaan dan pada mulanya keadaan berjalan dengan lancar dan menerima respon yang baik daripada pengendali restoran itu.

Namun, pada hari kejadian, keadaan menjadi tidak terkawal apabila individu berkenaan mendakwa terdapat artis yang turut mengadakan ‘event’ pada hari yang sama sekaligus membuatkan mereka tidak dilayan dengan sebaiknya oleh pelayan restoran.

Individu itu turut memuat naik foto makanan yang disediakan dan ternyata ia kelihatan pelik dan tidak menyelerakan terutamanya menu fish and chips yang menggunakan ikan keli.

Ia menjadi tular dan menerima kecaman daripada warga maya yang rata-rata meninggalkan komen bahawa mereka turut mengalami pengalaman yang sama seperti individu itu.

Tidak lama kemudian, Danial tampil memohon maaf kepada pengadu di atas pengalaman buruk di restoran miliknya itu dan berkata akan mengambil tindakan undang-undang kerana untaian tweet berkenaan ada mengandungi unsur-unsur fitnah dan menghasut.

Dakwanya lagi, ada beberapa perkara tidak diketahui ramai antaranya pelanggan terbabit telah memaki hamun pekerjanya dengan perkataan lucah di harapan orang ramai.

Malah, Danial turut menjemput orang ramai untuk hadir ke restorannya bagi menikmati secara percuma hidangan ‘viral’ yang dikecam orang ramai itu.