Malang tak berbau: Disangka pelanduk dua serupa, adik jadi mangsa tembakan abang sendiri

Malang tak berbau: Disangka pelanduk dua serupa, adik jadi mangsa tembakan abang sendiri

Seorang lelaki tertembak adiknya yang disangkakan pelanduk ketika memburu di kawasan hutan di Kampung Stenggang di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bau, Deputi Superintendan Poge Nyaon berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10.45 malam itu, mangsa berusia 55 tahun yang bekerja sebagai pemandu bas meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, dua beradik berkenaan keluar memburu kira-kira jam 7 malam sebelum berpecah. Abang mangsa memburu pelanduk manakala mangsa mencari katak di tebing sungai.

“Ketika sedang menunggu pelanduk, abang mangsa terdengar bunyi sesuatu di tepi sungai dan ternampak seperti kelibat pelanduk lalu melepaskan satu das tembakan.

“Selepas tembakan dilepaskan, abang mangsa mendengar jeritan dan dia bergegas memeriksa sebelum mendapati mangsa dalam keadaan berdarah dan terlentang di tebing sungai.

“Jarak antara mangsa dan abangnya ketika ditembak adalah kira-kira 15 meter,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Poge berkata, abang mangsa yang panik kemudian berlari balik ke rumah di di Kampung Stenggang yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian untuk memberitahu keluarga dan menghubungi polis.

Katanya, kira jam 11.50 malam, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau menahan abang mangsa yang berusia 60 tahun di rumahnya dan turut merampas selaras senapang patah dipercayai buatan sendiri, lima butir peluru hidup dan sebutir kelongsong peluru.

“Menurut suspek (abang mangsa), senapang patah yang digunakan untuk memburu adalah milik mangsa manakala peluru adalah milik suspek,” katanya.

Poge berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960, di mana sabit kesalahan boleh dipenjara duabtahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mayat mangsa dibawa keluar dari kawasan hutan kira-kira jam 1.47 pagi oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau dengan bantuan penduduk kampung sebelum dibawa ke Hospital Bau untuk bedah siasat. – HM