Malang!!! Tertangkap di dalam selimut

Malang!!! Tertangkap di dalam selimut

Seorang lelaki sanggup membawa teman wanitanya masuk ke rumah neneknya di Pokok Sena, dekat sini, untuk berdua-duaan dalam sebuah bilik.

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 21 tahun itu mengundang padah apabila dia dan pasangannya dicekup kerana disyaki berkhalwat dalam serbuan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) awal pagi tadi.

Ketika dicekup, lelaki itu ditemui sedang berselimut manakala pasangannya berusia 19 tahun itu pula menyorok dalam almari.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguat Kuasa JAIK, Syeikh Radzi Abdul Mutalib berkata, pihaknya melakukan serbuan itu pada jam 2.45 pagi tadi selepas menerima maklumat awam berhubung kegiatan maksiat pasangan itu.

Beliau berkata, sepasukan anggota penguat kuasa JAIK yang diketuai Mohd Tarmizi Abdul Karim terpaksa memecah pintu bilik di rumah berkenaan selepas pasangan itu enggan memberi kerjasama.

“Hasil pemeriksaan mendapati pasangan itu bukan suami isteri atau mahram dan wanita itu masih bujang menetap di Perlis.

“Lelaki itu pula bekerja di sini dan berasal dari Pulau Pinang selain menetap di rumah neneknya di sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Radzi berkata, wanita itu memberi alasan menumpang di situ kerana mempunyai urusan untuk mendaftar kursus perkahwinan mereka di Pokok Sena, hari ini.

Beliau berkata, pasangan itu ditahan dan dibawa ke pejabat agama untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan keluarga masing-masing.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 dan sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya. – HM