Malang!!! Wanita buntu modal RM10 ribu lebur begitu sahaja
Penutupan sementara bazar Ramadan Tok Adis di sini, berikutan kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) memaksa peniaga di bazar itu mencari ‘lubuk rezeki’ yang lain.
Peniaga air balang, Muhammad Syahmi Badli Ramli, 30, yang masih terkejut dengan penutupan sementara bazar itu, berkata dia terpaksa mencari alternatif lain dan bercadang untuk menjual nasi lemak di tepi jalan pada waktu malam demi memastikan kelangsungan kehidupannya dan pekerja.
“Memanglah kecewa sebab ini kali pertama saya berniaga di bazar dan saya telah keluarkan modal RM3,000 untuk berniaga air balang, namun saya harus segera memikirkan cara lain untuk mencari rezeki kerana bazar ditutup selama dua minggu. Ia adalah tempoh yang lama.
“Lagipun saya telah ambil lima pekerja untuk membantu saya berniaga di bazar sepanjang bulan puasa ini, jadi kalau saya tidak berniaga mereka pun hilang pendapatan. Saya masih mencari tapak baharu yang sesuai dan berharap akan dapat segera mula berniaga nasi lemak,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Bapa kepada seorang anak itu juga berharap penutupan sementara Bazar Ramadan Tok Adis dijadikan ikhtibar buat semua pihak termasuk pengunjung supaya sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.
“Selama tiga hari berniaga di bazar yang paling ketara saya lihat adalah pengunjung gagal mematuhi penjarakan fizikal ketika beratur untuk masuk ke dalam bazar, sedangkan kebanyakan kami (peniaga) menyewa dua tapak bagi memastikan gerai kami cukup luas dan penjarakan fizikal dapat dipatuhi,” katanya.
Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu hari ini mengesahkan Bazar Ramadan Tok Adis dekat Kuala Ibai diarah tutup sementara bermula 8 malam tadi hingga 30 April agar penganjur dapat memperkemaskan SOP yang ditetapkan dan memastikan ia dipatuhi oleh peniaga dan pengunjung.
Sementara itu, seorang peniaga mi sup dan ‘som tam’ yang hanya ingin dikenali sebagai Faridah berkata, dia terpaksa menanggung kerugian kerana sudah mengeluarkan modal RM10,000 bagi membeli stok bekalan bahan masakan dan peralatan jualan.
“Untuk dapatkan RM10,000 itu pun saya terpaksa gadai barang kemas. Selalunya selepas 15 hari berniaga barulah balik modal. Tetapi ini baru sahaja empat hari berniaga jualan pun tidak sampai RM4,000. Tak balik modal lagi.
“Sudahlah tahun lepas tidak boleh berniaga di bazar akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Ingatkan Ramadan tahun ini ingin cari rezeki lebih tetapi apakan daya kita terpaksa akur dengan arahan yang dikeluarkan,” katanya yang sudah enam tahun berniaga di bazar Ramadan itu.
Wanita berusia 42 tahun itu masih buntu dalam menghadapi situasi terbabit dan berharap agar tempoh penutupan sementara bazar itu dipendekkan supaya dia bersama lebih 70 lagi peniaga dapat berniaga semula di situ. – HM