Malaysia catat lebih ramai wanita Muslim tanggalkan tudung, netizen tanya mana janji Siti Zailah dulu?

Malaysia catat lebih ramai wanita Muslim tanggalkan tudung, netizen tanya mana janji Siti Zailah dulu?

Pimpinan Muslimat Pas, Siti Zailah sekali lagi menjadi sasaran kemarahan pengguna media sosial selepas muncul kisah terbaru melibatkan seorang artis Melayu Islam yang dilaporkan telah menanggalkan tudung.

Menurut warganet, dia adalah merupakan pembangkang yang begitu lantang menimbulkan isu kelemahan kerajaan PH ketika itu dalam memastikan kebajikan pramugari Muslim mengenakan tudung.

Namun selepas dilantik menjadi Timbalan Menteri Wanita hasil daripada Langkah Sheriton yang menyaksikan pihak yang kalah pilihanraya ke-14 mencuri mandat rakyat membentuk kerajaan baru, bukan sahaja tiada usaha dilakukannya bagi memastikan aurat pramugari yang dibangkitkannya dahulu terjaga, malah lebih buruk lagi semakin ramai kalangan wanita Muslim mengambil keputusan menanggalkan tudung mereka.

Terbaru seperti dilaporkan portal akhbar MalaysiaGazette, penyanyi dan pelakon, Elyana,32, mengambil keputusan enggan menjelaskan mengapa dia kembali tidak bertudung ketika ini.

Dia yang sembuh daripada penyakit kanser akhir tahun lalu berkata, ini kerana penjelasannya yang diberikan akan menimbulkan masalah lagi kemudian hari.

Buat masa ini, dia hanya ingin menjaga jiwa, tatasusila dan persekitarannya selepas tiada lagi kebaikan buat dirinya di mata segelintir masyarakat.

“Saya ambil keputusan tidak jelas apa-apa kepada mereka yang ingin penjelasan. Kalau saya jelaskan macam-macam cerita akan timbul.

“Keputusan ini demi menjaga tatasusila, jiwa kerana nama baik sudah tidak ada.

“Demi jiwa saya tidak akan terangkan untuk mereka yang tidak memahami apa yang berlaku. Inilah diri saya yang sebenar,” katanya kepada media di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di sini hari ini.

Pelantun lagu Niat itu muncul sebagai artis jemputan di ruang pameran Kementerian Perpaduan Negara.

Elyana menambah, dia tidak menyesal dengan keputusan yang diambil apabila muncul dengan penampilan yang berbeza ketika menderita penyakit kanser.

“Saya tidak menyesal kerana ia merupakan proses kehidupan dan saya hanya mengimpikan kehidupan baik-baik di kemudian hari.

“Ia demi jiwa saya kerana dulu saya lupa fikir tentang diri sendiri dan hanya fikir tentang hati orang. Baik buruk saya yang tanggung,” katanya.

Dua hari lalu, Elyana menjadi bualan hangat dalam media sosial selepas memuat naik sekeping foto tidak lagi memakai tudung.

Foto yang mengundang kejutan besar terhadap pengikut Instagramnya itu seterusnya mencetuskan pelbagai spekulasi, masing-masing berdebat mempersoalkan punca pelantun lagu Niat itu bertindak sedemikian rupa tanpa memikirkan kesan buruk terhadap imejnya.

Paling menarik perhatian ramai ialah apabila salah satu foto dikongsi memaparkan dia memakai baju yang tertulis ‘jadi diriku’.

Lebih-lebih lagi, wanita itu juga turut menutup ruangan komen untuk hantaran foto yang memaparkan aksinya tidak bertudung.

Minggu lalu, pelakon drama Dunia Baru itu menempelak segelintir netizen yang menuduhnya menjaja kisah penyakit kanser demi untuk meraih simpati ramai.

Berang dilempar tuduhan tersebut, dia turut menyuarakan hasrat untuk bersemuka dengan individu terbabit.

Pada bulan lalu, dia mengakui penat hidup berpura-pura kuat seperti yang sering dipaparkan kepada umum selama ini.

Katanya, dia bukan seorang insan yang sesuai dijadikan contoh oleh masyarakat terutama dalam berdepan ujian menghadapi penyakit kanser seperti sebelum ini.

Pada Disember tahun lalu, Elyana mengumumkan berita gembira apabila disahkan bebas daripada kanser limfoma yang dihidapinya sejak 12 tahun lalu.

Elyana buat pertama kali membuka mulut membuat pendedahan mengenai kanser limfoma tahap empat dihidapinya selepas tersingkir pada minggu kelima program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) pada 2017.

Elyana mendirikan rumah tangga dengan Khairul Anuar Husin pada 2010 dan dikurniakan seorang anak perempuan Cinta Sumayyah, 10, dan anak angkat, Cahaya Ramadhani yang kini berusia dua tahun.