Malaysia enggan terburu-buru iktiraf Taliban, anggap pendirian Hadi pandangan peribadi

Malaysia enggan terburu-buru iktiraf Taliban, anggap pendirian Hadi pandangan peribadi

Pendirian Malaysia mengenai situasi di Afghanistan akan dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet Jumaat ini, kata Menteri Luar, Saifuddin Abdullah.

“Saya akan bawa isu berkaitan Afghanistan ke mesyuarat Kabinet untuk dapat nasihat dan pandangan,” katanya pada sidang media maya selepas melawat Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT).

Taliban menawan Kabul pada 15 Ogos lalu dan menguasai Afghanistan buat pertama kali dalam tempoh 20 tahun, selepas tentera Amerika Syarikat berundur dari negara itu. Presidennya, Mohammad Ashraf Ghani turut meninggalkan Afghanistan.

Pada 1 Sept lalu, Saifuddin dilaporkan berkata, Malaysia mengambil pendekatan berhati-hati mengenai pendirian terhadap kerajaan Taliban di Afghanistan.

Hari ini, Saifuddin berkata, kerajaan akan memantau perkembangan di Afghanistan melalui pelbagai kaedah, termasuk wakil negara di New Delhi untuk memantau situasi semasa di negara itu.

Selain Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India dan Pakistan, beliau berkata, pihaknya turut mendapat maklumat daripada rakan sejawatan di Qatar dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), termasuk NGO kemanusiaan di negara itu.

“Kita juga berhubung dengan negara lain yang terlibat dalam rundingan dengan Afghanistan sebelum ini. Petang ini, saya akan menelefon Menteri Luar Qatar untuk mendapatkan sedikit maklumat. Saya juga akan berhubung dengan Setiausaha Agung OIC.

“Kita juga akan berhubung dengan NGO yang ada maklumat, termasuk NGO kemanusiaan supaya kita dapat kumpulkan maklumat dari pelbagai sumber untuk Malaysia buat keputusan dengan tepat.

“Jadi, kita akan lihat semua perkembangan dan pertimbangan semua perkara sebelum buat keputusan.”

Sumber – FMT