Malaysia mungkin bayar harga 35 kali lebih tinggi untuk pil molnupiravir

Malaysia mungkin bayar harga 35 kali lebih tinggi untuk pil molnupiravir

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meminta kerajaan menjelaskan mengapa memilih untuk membeli ubat molnupiravir untuk rawatan Covid-19.

“Apa kelebihan molnupiravir berbanding ubat lain yang telah lama terhasil dan dilaporkan terbukti berkesan di negara lain.

“Sebagai contoh Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) pada Julai lalu dilapor berkata formulasi baricitinib bagi mencegah risiko pesakit kategori satu dan dua Covid-19 daripada menghidap radang paru-paru sudah banyak digunakan di luar negara.

“Ubat baricinab bersama-sama dengan remdesivir dikatakan terbukti berkesan untuk merawat pesakit Covid-19 di hospital berdasarkan hasil kajian di luar negara,” tulis ahli parlimen Bagan Datuk itu di Facebook.

ADS

Oleh hal yang demikian, Zahid berkata, kerajaan wajar memberikan penjelasan berkenaan keputusan membeli molnupiravir yang dihasilkan oleh Merck & Co dan Ridgeback Biotherapeutics.

“Justeru, perlu ada penjelasan lanjut mengenai perkara ini bagi meyakinkan rakyat terhadap langkah kerajaan menggunakan molnupiravir di Malaysia,” tambahnya.

Menurut laporan Reuters, molnupiravir akan menjadi ubat antivirus oral pertama untuk rawatan Covid-19 sekiranya mendapat kelulusan, dan berdasarkan data klinikal, ia dapat mengurangkan sehingga separuh risiko kematian atau risiko dimasukkan ke hospital untuk golongan yang paling berisiko dijangkiti Covid-19 dengan teruk.

Berapa kos molnupiravir?

The New York Times melaporkan pil yang dibeli kerajaan AS yang cukup untuk 1.7 juta pakej rawatan, dibeli pada harga AS$700 (RM2,925) untuk setiap pesakit.

Pada Khamis, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata kerajaan sedang membeli 150,000 pakej rawatan pil antivirus percubaan itu tetapi tidak mendedahkan harganya.

Jika dikira berdasarkan harga pembelian oleh AS, 150,000 pakej akan berharga RM438.75 juta.

Satu analisis oleh pengkaji Universiti Harvard di AS dan King’s College Hospital di London, mendapati bahawa harga AS700 untuk satu pakej rawatan itu adalah 35 kali lebih tinggi berbanding jika versi generik ubat itu dihasilkan.

Sumber – Malaysiakini