Malaysia negara keempat dari 50 negara paling ramai bekerja terlalu lama

Malaysia negara keempat dari 50 negara paling ramai bekerja terlalu lama

Dua pakar kesihatan menggesa majikan meneliti polisi di tempat kerja supaya dapat mengurangkan situasi kerja terlalu lama dan mengurangkan kesannya.

Bercakap kepada FMT berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai jumlah kematian berkait dengan waktu bekerja yang panjang, mereka berkata, kurang kesedaran di negara ini mengenai ancaman kesihatan yang berpunca daripada kerja terlalu lama.

WHO pada Isnin berkata, masa bekerja terlalu panjang ratusan ribu individu setahun, dengan 745,000 mati akibat strok dan penyakit jantung pada 2016, meningkat 30% daripada tahun 2000.

Penyelidikan oleh pakar keselamatan yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Kisi yang dikeluarkan pada Disember lalu mendapati Malaysia merupakan negara keempat paling ramai bekerja terlalu lama di antara 50 negara yang dikaji.

Pakar kardiologi dan presiden Persatuan Penuaan Sihat Malaysia (MHAS) Dr Wong Teck Wee berkata, bekerja dengan tempoh yang singkat, tetapi dalam keadaan yang tertekan juga boleh menyebabkan masalah kesihatan yang serius.

“Seorang pesakit saya berusia enam puluhan dan kami dapati beliau mempunyai masalah jantung yang sangat lemah, tetapi tidak dapat mengenal pasti puncanya.

“Beliau tidak mempunyai faktor risiko biasa seperti merokok atau minuman keras,” kata beliau.

“Kemudian kami mendapati beliau seorang kontraktor yang baru-baru ini diminta menyiapkan satu projek besar dalam tempoh satu minggu. Beliau hanya tidur dua jam sehari, ini menyebabkan jantungnya sangat tertekan.”

Wong berkata, ia boleh dirawat, tetapi menambah bahawa kerosakan itu tidak dapat dipulihkan dan pesakit mengalami degupan jantung yang tidak teratur yang meningkatkan risiko penyakit strok.

“Banyak negara di Asia, terutama China dan Jepun, kini menyedari ancaman yang disebabkan oleh situasi kerja berlebihan,” katanya.

“Beberapa syarikat mengehadkan jumlah pekerja yang bekerja lebih masa atau menggunakan kaedah peringatan melalui pengumuman yang dibuat untuk mengingatkan pekerja supaya pulang ke rumah,” katanya.

Presiden Persatuan Kesihatan Mental, Dr Andrew Mohanraj berkata, masalah kesihatan mental boleh timbul akibat kerja berlebihan dan menjadi penyebab kepada masalah fizikal.

“Terlalu banyak bekerja boleh menjejaskan kesihatan mental pekerja dan boleh mengakibatkan kesan jangka panjang seperti tekanan, kegelisahan dan kemurungan, malah dalam kes lebih teruk mencetuskan kecenderungan bunuh diri,” katanya.

“Dekompensasi psikologi boleh menyebabkan aduan psikosomatik atau penyakit tidak spesifik seperti lenguh, kekejangan dan sakit kepala yang kerap.

“Kesihatan mental yang semakin buruk juga boleh menyebabkan penyalahgunaan alkohol, nikotin dan bahan terlarang, bahkan menyumbang kepada perkembangan dan memburukkan lagi masalah kardiovaskular,” kata beliau.

Mohanraj berkata, majikan harus melihat kebajikan pekerja bukan hanya dengan menimbangkan isu kesihatan, tetapi juga sebagai amalan perniagaan yang baik kerana masalah mental dapat mempengaruhi produktiviti mereka.

“Satu langkah yang dapat diambil oleh syarikat adalah dengan menyediakan sokongan kesihatan mental dalam pembiayaan klinik panel mereka.

“Majikan mesti mempunyai kefahaman yang jelas bersama-sama pekerja mengenai hasil yang diharapkan daripada tugas dengan menetapkan tempoh waktu yang realistik bagi menhalang tekanan yang tidak perlu,” katanya.

Pengarah eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia, Shamsuddin Bardan berkata, sesetengah majikan menggunakan strategi bagi membantu meringankan beban pekerja, seperti mengajar mereka mengatur pekerjaan, bekerja dengan lebih cekap sehingga mereka dapat mencapai KPI dengan waktu yang sesuai, dan menanam budaya organisasi yang meningkatkan keseimbangan kerja-kehidupan yang sihat.

“Beberapa majikan menyediakan kemudahan rekreasi di tempat kerja untuk membolehkan pekerja berehat dan bersenam semasa waktu rehat.

“Sebilangan pekerja juga menikmati keahlian gim yang dibiayai syarikat bagi membolehkan mereka bersenam secara teratur,” katanya. – FMT