Mana cukup 100,000 ujian Covid-19 sehari, kata Dr Dzulkefly

Mana cukup 100,000 ujian Covid-19 sehari, kata Dr Dzulkefly

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) dan pakar pediatrik membidas rancangan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk meningkatkan kapasiti ujian Covid-19 kepada kira-kira 100,000 sehari, mengatakan ia tidak mencukupi.

Bekas menteri kesihatan Dzulkefly Ahmad, yang juga merupakan pengerusi STFC, berkata ujian perlu ditingkatkan kerana Malaysia melaporkan “4,000 kes Covid-19 setiap hari”.

Sekurang-kurangnya 200,000 ujian perlu dilakukan setiap hari, katanya, mengikut piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Bolehkah ujian PCR mencapainya?” katanya, merujuk kepada ujian RT-PCR (Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction).

“Tidak boleh, tidak mungkin,” katanya di Twitter.

Dzulkelfy berkata, Malaysia perlu mengunakan kit ujian “rapid antigen” (RTK-Ag) yang “cepat dan murah”.

Untuk menghentikan gelombang jangkitan ketiga, yang diramalkan oleh WHO akan menyaksikan lebih 5,000 kes setiap hari pada akhir bulan depan, wujud keperluan untuk mengatasi kadar penyebaran virus, katanya.

Ini boleh dilakukan dengan meningkatkan jumlah dan kepantasan ujian dengan menggunakan RTK-Ag.

Sementara itu, pakar pediatrik Dr Amar Singh HSS berkata, negara kini masih lagi “mengejar”.

“Lebih penting lagi, tempoh ‘turnaround’ ujian PCR kita masih terlalu perlahan,” katanya di Twitter.

Beliau berkata, ujian itu memerlukan tiga hingga lima hari untuk mendapatkan hasil, sekali gus mengehadkan nilainya.

“Kita memerlukan 100,000 ujian ‘rapid antigen’ di lapangan dan menggunakan ujian PCR untuk kegunaan di wad kemasukan,” katanya, selain menambah keputusan ujian antigen dapat diperoleh dalam masa satu jam.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kementerian berharap dapat meningkatkan kapasiti ujian Covid-19 kepada kira-kira 100,000 sehari dan akhirnya menjadi 150,000 sehari.

Katanya, 68 makmal kini memproses ujian RT-PCR setiap hari.

“Kapasiti makmal tertentu masih boleh ditingkatkan. Dengan semua 68 makmal, saya rasa kapasiti pengujian dapat meningkat menjadi sekitar 100,000.

“Tetapi kita juga melihat kepada makmal baru, ” katanya pada sidang media.

Hisham di Twitter hari ini berkata, ujian RTK-Ag hanya disarankan ketika “sistem kesihatan terlalu terbeban” atau ketika tempoh “turnaround” ujian RT-PCR lebih 48 atau 72 jam, atau jika ujian RT-PCR tidak ada.

“Sensitiviti alat ujian mestilah lebih daripada 80% dan spesificiti lebih daripada 97%,” katanya. – IR