Mangsa mengaku sengaja buat fitnah, Ustaz dibebaskan dari tuduhan

Mangsa mengaku sengaja buat fitnah, Ustaz dibebaskan dari tuduhan

 

Seorang saksi perbicaraan memberitahu mahkamah sewaktu soal balas bahawa beliau dan empat lagi rakannya membuat tuduhan palsu terhadap seorang mudir sebuah madrasah yang terletak di daerah Kulim selepas mereka ditangkap dengan bahan pornografi di madrasah itu.

Oleh yang demikian, Anuar Che Ani, 36, dibebaskan daripada tiga tuduhan serangan seksual selain dilepas tanpa dibebaskan bagi dua lagi tuduhan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Mirza Mohamad atas permintaan pendakwaan selepas dua saksi yang sepatutnya memberi keterangan gagal untuk hadir.

FMT melaporkan, sebelum ini Anuar mengaku tidak bersalah pada 18 November 2021 kerana serangan seksual terhadap lima pelajar berusia 11 hingga 14 tahun di sebuah madrasah antara April 2018 hingga Oktober 2021.

Beliau disiasat dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibenarkan jaminan sebanyak RM50,000.

Peguam yang mewakili Anuar, RSN Rayer menjelaskan bahawa ustaz tersebut akhirnya dilepas dan dibebaskan bagi tiga tuduhan pertama selepas seorang saksi mengakui dalam soal balas ketika perbicaraan bahawa laporan polis terhadap tertuduh adalah fitnah dan palsu semata-mata.

Tuduhan itu sengaja dibuat oleh saksi tersebut terhadap Anuar selepas beliau dan empat lagi rakannya ditangkap kerana memiliki bahan pornografi.