Mangsa terakhir kes tanah runtuh Batang Kali ditemui, impian Jabatan Unit Amal cipta nama terkubur

Mangsa terakhir kes tanah runtuh Batang Kali ditemui, impian Jabatan Unit Amal cipta nama terkubur

Mayat kanak-kanak lelaki mangsa terakhir tragedi tanah runtuh di Father’s Organic Farm ditemui di dalam beg tidur di sektor A (hillview), di sini pada Sabtu.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, mangsa ditemui di kedalaman dianggarkan sedalam 1.5 meter.

Menurutnya, kanak-kanak itu ditemui sekitar empat meter daripada tapak asal di mana dia dan keluarganya berkhemah sebelum kejadian pada 16 Disember lalu.

“Salah seorang pegawai kanan bomba mendapati terdapat satu aliran cecair yang pelik di bahagian tebing disyaki cecair mayat.

“Lalu beliau menggali kawasan berkenaan dan menemui ‘sleeping bag’ dan menemui mangsa terakhir yang kita cari-cari ini,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, di sini pada Sabtu.

Sementara itu, Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, mayat kanak-kanak yang dianggarkan berusia antara 7 hingga 12 tahun itu ditemui di sektor A pada jam 4.53 petang.

“Mangsa ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian, masih sempurna tetapi dah mula mereput. Mayat telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat,” katanya.

Dalam pada itu, Suffian mengucapkan terima kasih kepada semua anggota SAR daripada semua agensi terlibat dan semua rakyat Malaysia yang tidak putus-putus mengirimkan doa.

“Saya bagi pihak semua agensi mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan memberi sokongan secara langsung atau tidak langsung,” ujar beliau.