Mapim cadang Raja lantik menteri agama, bukan PM

Mapim cadang Raja lantik menteri agama, bukan PM
Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mencadangkan supaya menteri hal ehwal Islam dilantik oleh Majlis Raja-raja Melayu dan bukan lagi oleh perdana menteri.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, ia berdasarkan prinsip urusan agama Islam tidak seharusnya terikat kepada parti politik.

“Usul ini adalah berdasarkan prinsip urusan agama Islam tidak harus terikat kepada parti politik. Proses menyahkan kepentingan politik kepartian (de-party politicization) dalam urusan agama Islam bertepatan dengan landasan perlembagaan bahawa Islam adalah di bawah bidang kuasa raja.

“Kami mengambil perkiraan bahawa sememangnya politik dan Islam tidak boleh dipisahkan akan tetapi politik kepartian telah banyak merosakkan integriti Islam akibat ahli politik sering mengutamakan parti dari Islam yang sepatutnya dipertahankan.

“Lebih buruk ialah apabila ahli parti politik menggunakan Islam untuk mempertahankan partinya dan kedudukannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memecah tradisi apabila melantik bekas mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan hal ehwal agama.

Zulkifli dibantu Ahli Parlimen Pengkalan Chepa Ahmad Marzuk Shaary dari PAS sebagai timbalan.

Zulkifli, telah berkhidmat sebagai mufti Wilayah Persekutuan sejak 2014 dan dilihat sebagai tokoh agama yang popular.

Dalam pada itu, Mohd Azmi berkata, oleh kerana bidang kuasa agama Islam berada bawah kuasa Raja-raja Melayu maka menteri agama lebih wajar dipertanggungjawab langsung kepada Majlis Raja-raja Melayu.

Katanya, mekanisme dan fungsi Menteri yang dipilih oleh Majlis Raja-raja Melayu boleh ditetapkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan.

“Rasional saranan ini berdasarkan status Islam dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipelihara agar tidak dijadikan perdebatan politik kepartian.

“Kami berpendapat agama Islam perlu diletak di atas kepentingan politik dan sebarang perbahasan mengenainya tidak terikat dengan kepentingan politik kepartian,” katanya.

Sumber: Malaysiakini