Marah kontrak tidak disambung didakwa punca Ras Adiba nekad sertai Bersatu

Marah kontrak tidak disambung didakwa punca Ras Adiba nekad sertai Bersatu

Exco Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid mendakwa Datuk Ras Adiba Radzi pernah memintanya ‘berbisik’ kepada bapanya untuk menyambung jawatan senator dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Memetik MalaysiaGazette, Nurulhidayah yang membuat dakwaan tersebut dalam satu hantaran di Instagram berharap keputusan Ras Adiba menyertai Bersatu bukan disebabkan dua jawatan tersebut tidak disambung oleh kerajaan.

“Saya bersikap terbuka dan berlapang dada. Saya berharap keputusan Kak Deeb (Ras Adiba) ini tidak ada kena mengena dengan isu beliau tidak disambung term senator di Dewan Negara dan jawatan sebagai Pengerusi Bernama.

“Secara terbuka saya nyatakan Kak Deeb ada meminta bantuan saya untuk ‘bisik’ kepada Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) tentang penyambungan term beliau dalam dua jawatan tersebut.

“Saya telah sampaikan kepada TPM tentang hasrat beliau tetapi keputusan besar bukan keputusan TPM sendiri dan sesiapa sahaja harus menghormati dan tidak perlu mencampuri urusan pentadbiran,” kata Nurulhidayah.

Anak sulung Presiden UMNO dalam hantaran tersebut mengakui terkejut dengan berita penyertaan Ras Adiba ke dalam Bersatu.

Namun beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada bekas wartawan dan penyampai televisyen tersebut dalam parti baharu yang disertainya.

Katanya, pada Perhimpunan Agong UMNO 2023 selaku Pesuruhjaya NGO Skuad Sayang beliau telah mencadangkan Ras Adiba diangkat sebagai ikon di Majlis Hi-Tea Anugerah Skuad Sayang Wanita UMNO.

“Beliau bersetuju untuk menerima anugerah tersebut dan di luar kawalan dan pengetahuan saya beliau secara terbuka dan rasminya telah menyertai parti Bersatu sewaktu majlis jentera PN berlangsung di Seremban semalam,” kata Nurulhidayah.

Ras Adiba dilaporkan menyertai Bersatu selepas menerima watikah keahlian parti berkenaan pada Ahad.

Watikah berkenaan disampaikan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan malam tadi.

Ras Adiba Radzi mengangkat sumpah sebagai senator pada 20 Mei 2020 dan dilantik sebagai Pengerusi Bernama pada 24 November 2020.

Bagaimanapun sehingga berita ini ditulis tidak ada pengumuman pelantikan Pengerusi Bernama yang baharu.