Masalah air : Mana janji MB nak belat sungai?

Masalah air : Mana janji MB nak belat sungai?

Lebih 20,000 penduduk sekitar Kuala Kedah di sini, mengalami masalah bekalan air sehingga menyukarkan kehidupan harian mereka sejak lebih lima tahun lalu.

Keadaan itu menyebabkan ramai penduduk tidak lagi sanggup tinggal di kawasan berkenaan sehingga ada yang merancang menjual kediaman mereka walaupun pada harga yang rendah.

Antara kawasan yang kerap terjejas bekalan adalah Taman Sri Putra, Taman Desarina Indah, Taman Armada, Taman Nautika, Taman Desa Wawasan, Taman Nusantara, Kampung Tepi Laut, Kampung Madrasah, Kampung Tengah dan Kampung Ulu.

Penduduk Taman Armada, Zabidi Ramli, 41, berkata ketiadaan air menyebabkan berlaku ketegangan antara penduduk berikutan terpaksa berebut bekalan air dari lori yang dihantar Syarikat Air Darul Aman (SADA).

“Kami bimbang masalah air akan menyebabkan penduduk bertindak luar kawalan suatu hari nanti, perkara ini bukan main-main lagi. Ramai yang mahu berpindah ke tempat lain dan menjual rumah mereka tetapi tidak laku kerana orang tahu kawasan ini ada masalah air.

 

Penduduk Taman Armada 2, Kuala Kedah, Zabidi Ramli, 47, menunjukkan tangki yang disediakan bagi menyimpan air berikutan gangguan bekalan air sering berlaku di taman perumahan itu. - Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman
Penduduk Taman Armada 2, Kuala Kedah, Zabidi Ramli, 47, menunjukkan tangki yang disediakan bagi menyimpan air berikutan gangguan bekalan air sering berlaku di taman perumahan itu. – Foto NSTP/Noorazura Abdul Rahman

 

“Bekalan air di sini, kadang-kadang hanya ada lima minit atau 20 minit dalam sehari, kami penduduk terpaksa beli tangki dan pam air yang berharga ribuan ringgit kerana mahukan bekalan,” katanya ditemui hari ini.

Bagi penduduk Taman Tengku Laksamana, Bok Che Napiah, 55, dia terpaksa membelanjakan lebih RM1,000 sebulan untuk membeli air mineral bagi tujuan minum dan masak selain mencuci pakaian di kedai dobi.

“Kami sekeluarga terpaksa mandi di tempat kerja atau singgah stesen minyak, saya sudah beli lima pam air, namun semuanya tidak bermakna jika tiada bekalan air.

“Sejak tahun lalu keadaan bertambah kritikal, saya beli tangki air agar boleh menakung 5,000 liter air tetapi ia hanya dapat bertahan empat hari,” katanya yang sudah 20 tahun menetap di situ.

Wakil Penduduk Taman Sri Putra, Hafiz Omar, 38, berkata dia kecewa bekalan air yang diterima pada sebelah pagi sering berbau hanyir sehingga pernah membawa sampel air ke pejabat SADA setiap hari selama seminggu bulan lalu.

“Selepas sampel dibawa, baru pihak SADA datang membaik pulih paip yang pecah, jika (tidak) air longkang akan masuk ke dalam paip yang disalurkan kepada rumah penduduk.

” …bermula jam 7 pagi hingga 10 pagi bekalan air akan berbau hanyir dan menyebabkan kami tidak boleh mandi,” katanya.

Sementara itu, usaha mendapatkan reaksi SADA sudah dilakukan, namun belum mendapat maklum balas setakat ini. – BH