Maszlee dinamakan calon PKR kerusi DUN Layang-Layang
Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik dipilih sebagai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mewakili PKR.
Pengumuman itu dibuat presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sesi pengumuman kedua calon parti itu hari ini, lapor portal MalaysiaGazette.
“Di Johor saya tidak letak ahli Parlimen PKR tapi di sini saya beri satu pengecualian iaitu Maszlee Malik di DUN Layang-Layang.
“Kita nak tonjolkan pengalaman dia, jadi saya harap Maszlee, tokoh kita yang saya rasa dari semangat dan sumbangan dia sangat saya hargai.
“Untuk pengumuman lain saya akan bersama dengan Timur Johor Tengah bagi suspen sikit,” katanya dalam ucapan pengumuman calon PKR bagi zon tengah hari ini.
Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan ditempatkan di DUN Layang-Layang sebagai calon muka baharu PKR di kawasan itu.
Selain Maszlee, setiausaha publisiti wanita DAP Johor, Marina Ibrahim adalah nama yang disebut-sebut menjadi calon PH di DUN tersebut.
Dia yang merupakan pegawai khas kepada Ahli Parlimen Kluang telah diamanahkan sebagai penyelaras Dap bagi Dun Layang-Layang bermula September tahun lepas.
Serentak dengan pengumuman tersebut, DAP Johor telah melancarkan Pusat Komuniti Layang-Layang bagi tujuan memberi khidmat kepada masyarakat setempat.
Komposisi pengundi di DUN Layang-layang ialah kira-kira 53 peratus orang Melayu, 33 peratus orang Cina dan 14 dari kaum India.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, PKR hanya mengumumkan nama Maszlee sahaja sebagai calon.
Selebihnya, Anwar berkata, ia akan diumumkan semasa pengumumkan calon PKR zon tengah pada malam ini.