Maszlee saran Ismail gantikan Radzi Jidin

Maszlee saran Ismail gantikan Radzi Jidin

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mendakwa masalah besar pendidikan yang dihadapi di negara ini adalah kerana kegagalan kerajaan untuk mentadbir dengan baik.

Menurutnya, banyak kepincangan dalam sistem pendidikan sehingga kini masih gagal diselesaikan kerana kegagalan kerajaan mengenal pasti isu utama pendidikan negara.

Menurut laporan Sinar Harian, Maszlee juga turut menasihati Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya melantik menteri pendidikan baharu sebagai langkah perlu untuk memacu pendidikan ke arah yang lebih baik.

“Kita akan terus bercakap mengenai masalah seperti infrastruktur dan pendidikan yang lemah untuk satu tempoh yang lama. Jika tahap integriti di negara kita masih di takuk ini dan kita masih lagi dipenuhi dengan ‘kabinet buncit’ dengan golongan-golongan yang tidak menghayati mengenai aspirasi dan ke mana misi pendidikan negara ini.

“Saya melihat isu dan masalah pendidikan ini, bukan setakat 20 tahun malah 30 tahun lagi pun kita akan terus berbicara mengenai perkara ini kerana masalah ini kita telah warisi sejak 60 tahun lalu,” katanya dalam satu program wawancara yang dihoskan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar dan disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Dalam program tersebut, Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkongsi pandangan mengenai sistem pendidikan negara dan buku ‘Memori Bukan Memoir: 20 Bulan Reformasi Pendidikan’.

Mengulas lanjut, beliau melihat masalah pendidikan di negara ini adalah keengganan untuk melakukan perubahan penstrukturan.

Beliau menjelaskan, perkara itu cuba diubahnya ketika menjadi Menteri Pendidikan, namun tempoh 20 bulan yang diberikan kepadanya tidak cukup untuk merealisasikan misi tersebut.