‘Mat Kilau’ terima anugerah filem patuh syariah daripada Pas

‘Mat Kilau’ terima anugerah filem patuh syariah daripada Pas

Tindakan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang menonton filem Mat Kilau di sebuah pawagam di ibu negara baru-baru ini mengundang pelbagai reaksi warga net selain menyifatkan parti itu hipokrit.

Diketahui umum bahawa sebelum ini Pemuda Pas bertegas tidak menyokong pembukaan semula pawagam di Kelantan bagi membendung gejala sosial dari berleluasa di negeri itu.

Menerusi hantaran di Facebook rasmi Pemuda Pas pada Isnin, pentadbir halaman dengan nama ‘Zack’ dilihat mempertahankan tindakan Ahmad Fadhli dengan memberi beberapa penerangan mengenai adab menonton wayang yang dibenarkan Islam.

“Tengok wayang bukan haram terus. Kalau cerita ditayangkan itu seru kepada kebaikan, ajak orang kenal sejarah, ajak cintakan negara, itu tak haram.

“Kalau cerita ditayangkan itu pelakonnya semua tutup aurat, tengok wayang jaga batas syarak, itu tak haram,” menurut kenyataan itu.

Zack turut menjelaskan pendirian Pemuda Pas yang menyatakan panggung wayang tetap dikategorikan haram sekiranya tidak menepati syariat Islam.

“Tengok wayang haram kalau duduk berdua-duaan dengan bukan mahram, sebelah-sebelah, tengok wayang cerita cintan-cintun, ajak kepada kemaksiatan dan tiada nilai pengajaran.

“Tengok wayang sampai lupa solat, masuk waktu solat pun masih di pawagam, itu haram,” jelasnya.

Sementara itu, menjawab dakwaan warga net yang mempersoalkan tempat duduk ahli Pemuda Pas ketika menonton filem berkenaan, Zack menjelaskan, mereka tidak bercampur antara lelaki dan wanita.

“Kami beli 20 ‘seat’. Semua lelaki. Tak ada siapa duduk sebelah perempuan,” jelasnya.