Mat Sabu akhirnya dedah kenapa pengimport telur dari India tak melalui tender terbuka

Mat Sabu akhirnya dedah kenapa pengimport telur dari India tak melalui tender terbuka

 

Syarikat pengimport telur dari India tidak dilantik melalui tender terbuka, dedah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Mohamad menjawab soalan Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang bertanya sama ada proses melantik pengimport telur itu dilakukan secara tender terbuka.

“Tidak,” kata Mohamad di Dewan Rakyat.

“Dia kena bagi khusus satu kerana kita buat ini dalam keadaan nak menampung (bekalan telur) sementara.

“Maka dibuat kepada “special case”, dan lepas ini kalau keadaan pengurusan telur ini pulih, kita akan kurangkan atau stop (hentikan) import,” katanya.

Dalam jawapan bertulis Parlimen awal bulan ini, Mohamad berkata hanya satu syarikat diberi lampu hijau untuk mengimport telur dari India.

Keputusan membenarkan import dari India dibuat berikutan kekurangan bekalan telur tempatan akibat penurunan pengeluaran dari Oktober hingga Disember tahun lalu.

Minggu lalu, sebuah firma guaman mendedahkan pelanggannya, J&E Advance Tech Sdn Bhd, adalah pengimport tunggal telur negara dari India.

Mohamad hari ini berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengimport telur dari negara lain jika berlaku bencana seperti banjir, yang sebelum ini menjejaskan pengeluaran telur.

Katanya, permit import hanya boleh dikeluarkan kepada pengimport yang memenuhi syarat ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Mohamad juga berkata, kementerian komited memastikan bekalan telur negara pulih ke tahap pra-pandemik, sambil menambah ia sedang berbincang dengan pengeluar telur yang berjanji untuk “memenuhkan” pasaran dengan bekalan bagi sambutan Aidilfitri.

“Dengan keadaan smooth (lancar) kita harap tak berlaku bencana yang besar lagi di mana-mana (supaya) kita dapat pulihkan keadaan itu seperti mana lima, enam tahun dahulu,” katanya.