Mat Sabu jawab UMNO isu pembebasan Najib, pertahan Khalid suarakan pandangan

Mat Sabu jawab UMNO isu pembebasan Najib, pertahan Khalid suarakan pandangan

 

Setiap individu mempunyai kebebasan untuk memberikan pandangan sebagaimana hak yang diberikan dalam perlembagaan.

Namun dalam konteks organisasi, pandangan individu tidak mewakili organisasi atau parti melainkan ianya adalah keputusan rasmi parti tersebut yang diputuskan dalam mesyuarat parti.

Parti Amanah Negara (AMANAH), PKR atau DAP yang bergabung di dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) tertakluk kepada keputusan Pakatan Harapan yang perlu diutamakan jika bercanggah dengan keputusan parti.

Begitu juga dalam konteks Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hari ini, keputusan di peringkat gabungan kerajaan Perpaduan mengatasi keputusan parti-parti atau pakatan politik masing-masing dan ianya perlu diutamakan.

Pemimpin AMANAH berhak menyuarakan pandangan, tetapi mereka terikat dengan keputusan parti. Inilah ‘normal practice’ dalam mana-mana organisasi.

Dalam kes yang melibatkan bekas Perdana Menteri ke 6 Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak, kuasa tertinggi yang mempunyai hak untuk membuat keputusan adalah Yang di-Pertuan Agong. Maka semua pihak perlu menghormati sebarang keputusan Yang di-Pertuan Agong.

Walaubagaimanapun, semua pihak yang menyuarakan pandangan dalam isu ini sayang kepada Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Perpaduan perlu memberi fokus kepada khidmat kepada rakyat sebagaimana yang diamanahkan.

Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu
Presiden Parti Amanah Negara
Ahad, 30 April 2023