Mat Sabu terkilan parti komponen PH saling menyerang satu sama lain

Mat Sabu terkilan parti komponen PH saling menyerang satu sama lain

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengakui terkilan apabila parti-parti komponen Pakatan Harapan (PH) saling menyerang satu sama lain sehingga memburukkan imej Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, sepatutnya serangan disasarkan kepada musuh politik yang mengkhianat dan merampas kuasa persekutuan dari PH bukannya terhadao kedua-dua tokoh utama itu.

Namun, sebaliknya yang berlaku apabila mereka yang merampas kuasa persekutuan tidak pula dihentam.

“Saya terkilan apabila serangan dihala kepada Anwar. Selepas itu ‘berlari’ serang Mahathir pula. Media pun tak tumpu serangan terhadap kerajaan yang merampas kuasa PH.

“Sepatutnya, serangan tumpu kepada mereka yang menjatuhkan kerajaan kita.

“Saya tidak puas hati apabila imej Mahathir dan Anwar buruk ketika ini. Mereka yang mengkhianati kerajaan PH pula bergembira,” katanya ketika menggulung Konvensyen AMANAH Nasional hari ini.

Sementara itu, kata Mohamad, sekiranya AMANAH mahu mengambil semula mandat rakyat, kawasan-kawasan Felda tidak boleh diabaikan dan perlu dimenangi.

Ahli Parlimen Kota Raja itu juga meyakini PH boleh mengambil semula mandat rakyat sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Konvensyen AMANAH diadakan selama tiga hari bermula pada 25 Disember lalu dan berakhir hari ini dengan dihadiri hampir 400 perwakilan.

Sumber: https://malaysiadateline.com/saya-tidak-puas-hati-imej-anwar-dan-tun-m-buruk/?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook