Matawang Ringgit Malaysia kehabisan stok selepas Dolar Singapura catat ‘all time high’ semalam

Matawang Ringgit Malaysia kehabisan stok selepas Dolar Singapura catat ‘all time high’ semalam

Selepas mencecah paras tertinggi lima tahun minggu lepas, dolar Singapura meneruskan aliran menaik berbanding ringgit Malaysia, mencecah paras tertinggi sepanjang masa 1:3.1688 ketika berita ini ditulis, demikian menurut Bloomberg.com.

Ini berlaku beberapa minggu selepas pembukaan semula sempadan berikutan peralihan Malaysia ke peringkat endemik.

Semakan Malay Mail di Bloomberg menunjukkan kadar pertukaran setakat 4.10 petang terus kekal pada paras 3.1683 mengatasi paras tertinggi sebelumnya 3.1650 daripada lima tahun lalu.

Di Exchangerates.org.uk trend kenaikan dolar Singapura bermula pada 10 April 2022, di mana ia berada pada 1:3.0974. Pada 17 April 2022, angka itu meningkat kepada 1:3.1197 dan seminggu kemudian pada 24 April ia mencecah 3.1572.

Menurut laporan Bernama , Kadar pertukaran SGD-ke-MYR meningkat kepada rekod tertinggi 1:3.1665 pagi tetapi lemah berbanding dolar AS (USD) kepada 4.3490 daripada penutupan sebelumnya pada 4.3230.

Pada masa ini, ringgit berada pada 4.3553 kepada satu dolar AS menurut Bloomberg.

Sementara itu, pengurup wang di Singapura menyaksikan lonjakan orang yang beratur untuk membeli ringgit Malaysia selepas nilai mata wang itu terus lemah berbanding dolar Singapura, lapor Channel News Asia.

Dolar mencecah paras tertinggi sepanjang masa pada S$3.17 berbanding ringgit semalam, dengan beberapa kedai pengurup wang difahamkan kehabisan stok mata wang Malaysia.

Dengan dua negara kini sedang beralih ke fasa endemik dan terkesan dengan wabak COVID-19, dilaporkan bahawa kadar pertukaran semasa mengatasi paras tertinggi sebelum ini iaitu S$3.16 kepada satu ringgit.

Akibat daripada kesan ini, barisan panjang terbentuk di beberapa lokasi di tengah kota Singapura bermula sejak petang semalam.

Sekurang-kurangnya tujuh cawangan yang beroperasi di pejabat dan menara runcit The Arcade kehabisan mata wang Malaysia menjelang petang.

Beberapa pengurup wang pula mendakwa permintaan terhadap ringgit sebenarnya sudah mula meningkat sejak minggu lalu dan kemuncaknya adalah semalam.

Bagi pengurup wang yang masih mempunyai stok ringgit, dilaporkan terdapat pelanggan yang mahu menukar sehingga S$4,000 (RM12,696).

“Saya tiada stok lagi. Baru habis hari ini,” kata seorang pekerja di Hasan Trading Money Exchange, yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail.

“Cuti semakin tiba, sebab itu orang ramai membeli ringgit. Hari Raya juga sangat penting,” katanya sambil menyatakan pembukaan semula sempadan antara Malaysia dan Singapura.