Mati ketika lahirkan anak, suami bawa potret isteri naik pentas ambil ijazah isteri sambil menangis

Mati ketika lahirkan anak, suami bawa potret isteri naik pentas ambil ijazah isteri sambil menangis

 

MAJLIS penamatan pendidikan pengajian ijazah yang berlangsung dengan penuh gilang-gemilang bertukar hiba di Kolej Pelancongan Mataram, Indonesia.

Ia selepas seorang lelaki tidak dapat menahan kesedihannya sehingga menitiskan air mata ketika naik ke atas pentas bagi mewakili isterinya yang meninggal dunia selepas melahirkan cahaya mata mereka.

Momen berkenaan tular sejak Jumaat lalu selepas ia dikongsikan pengguna Tiktok yang mengunakan nama akaun, @rubah_putih.

Dalam video tersebut, lelaki berkenaan yang berambut panjang dan mengenakan kemeja putih pada awalnya dilihat duduk bersama-sama dengan calon siswazah lain.

“Awalnya saya bingung kenapa ada calon siswazah yang tidak mengenakan pakaian istiadat yang sepatutnya,” tulis hantaran di video berkenaan.

Bagaimanapun, hadirin kemudiannya dimaklumkan bahawa lelaki berkenaan hadir bagi mewakili isterinya yang meninggal dunia selepas melahirkan cahaya mata.

 

Difahamkan, wanita berkenaan sempat menyempurnakan tesisnya dan menamatkan pengajian sebelum meninggal dunia.

Menerusi video terbabit, lelaki berkenaan dilihat memegang potret isterinya ketika dipanggil untuk naik ke atas pentas.

Dia juga dilihat menitiskan air mata dan tidak dapat menahan kesedihan selepas menerima sijil berkenaan.

Dalam pada itu, di ruangan komen, terdapat warganet memaklumkan bahawa anak kepada pasangan tersebut sempat diselamatkan meskipun ibunya meninggal dunia selepas melahirkannya.

“Anaknya sihat, semoga ayahnya banyak rezeki untuk hantar anak belajar ke peringkat tertinggi,” tulis @capcut.