Mayat dalam tangki najis, polis buru 8 suspek

Mayat dalam tangki najis, polis buru 8 suspek

 

Polis sedang mengesan lapan individu bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki warga Indonesia dalam sebuah tangki najis di Kuala Kangsar pada 14 Mei lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kesemua suspek merupakan warga Indonesia yang tinggal serumah dengan mangsa yang dipercayai mangsa bunuh itu.

“Polis telah kenal pasti (suspek) dan sedang mengesan mereka bagi melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk ke DPP (timbalan pendakwa raya) dan tindakan selanjutnya.

“Jadi berilah masa kepada pihak berkuasa untuk kami menjalankan siasatan dan mengesan suspek-suspek berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Aidilfitri Polis Diraja Malaysia Perak di Ibu Pejabat Polis Daerah Perak Tengah di Bota malam tadi.

Pada 15 Mei lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaacob berkata polis sedang mengesan pasangan suami isteri yang juga rakan serumah mangsa kerana dipercayai telah melarikan diri.

Katanya mereka dikehendaki bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.