Mayat remaja ditemui separuh bogel dalam longkang, tangan diikat & leher dijerut dengan pita pelekat

Mayat remaja ditemui separuh bogel dalam longkang, tangan diikat & leher dijerut dengan pita pelekat

 

Mayat seorang remaja perempuan berusia 15 tahun disyaki dibunuh dijumpai dalam keadaan separuh bogel. leher dijerut dan tangan diikat di dalam longkang di Brantian, Tawau, Sabah.

Ditemui dalam keadaan separuh bogel

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin, pihak polis telah menerima laporan berhubung pernemuan mayat seorang perempuan daripada pengurus ladang.

Siasatan awal mendapati mayat terbabit ditemukan oleh orang awam dalam keadaan separuh bogel dengan tangan mangsa diikat serta lehernya dijerut.

Terdapat juga beberapa kecederaan pada tubuh mangsa iaitu koyakan pada bahagian kepala sebelah kiri dipercayai disebabkan objek keras selain tangan dan leher diikat menggunakan pita pelekat berwarna hitam.

Mayat remaja itu kemudiannya di bawa ke Hospital Tawau untuk bedah siasat dan pihak polis masih menunggu hasil laporan terbabit bagi mengetahui punca kematian termasuk sama ada mangsa dirogol atau tidak.

Tahan suspek berusia 14 tahun

Susulan daripada itu, polis berjaya menahan seorang suspek remaja lelaki berusia 14 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes terbabit.

Hasil siasatan mendapati kedua-dua individu tersebut adalah anak pekerja ladang warga asing serta tinggal di kawasan kejiranan yang sama.

Bagaimanapun, siasatan lanjut masih diteruskan dan suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 5 sehingga 11 Januari.

Setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.