MAZA ‘berlakon’ naif untuk daftarkan keIslaman 3 beradik

MAZA ‘berlakon’ naif untuk daftarkan keIslaman 3 beradik

Mufti Perlis, Mohd Asri Zainul Abidin, mengesahkan jabatan agama negeri itu mendaftarkan tiga kanak-kanak bawah umur sebagai Islam tanpa kehadiran ibu mereka, Loh Siew Hong.

Beliau juga mengesahkan bapa kanak-kanak terbabit ada ditanya mengenai keberadaan Loh tetapi ketiadaan wanita itu tidak diselidik.

“Si bapa datang bawa tiga orang anaknya ke Perlis untuk menganut Islam. Memang anak dia ketika itu bawah umur,” katanya dalam video yang dimuat naik di Facebook semalam, seperti dilaporkan portal FMT.

Menurut Asri, si bapa membawa kanak-kanak terbabit pada Julai 2020.

“Ditanya mana mak mereka, si bapa kata tak tahu mak mereka ke mana. Dia nak minta anak dia masuk Islam. Jabatan agama – bahagian pendaftaran mualaf – daftarkan mereka sebagai orang Islam…bukan daftar di Jabatan Pendaftaran Negara.

“Bapa merekalah bawa. Tak selidiklah mak mereka mana. Bapa mereka kata tak tau mak mereka di mana, kita biar mereka masuk Islam.”

Loh semalam memberitahu FMT bahawa ketika itu beliau tidak dapat bertemu anak-anaknya sejak tiga tahun lalu kerana sedang berlindung di sebuah pusat perlindungan kes keganasan rumah tangga. Ketika itu juga, beliau memohon perceraian dan hak jagaan ke atas mereka.

Mahkamah Persekutuan sebelum ini memutuskan dan mengesahkan bahawa penukaran agama kanak-kanak bawah umur perlu mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Sementara itu, Asri berkata, pihak berkuasa agama di Perlis tidak tahu tentang perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac 2021 yang memberikan hak jagaan kepada Loh.

Ketika itu, kanak-kanak berkenaan dijaga di Perlis.

“Anak mualaf, bapa mereka masuk penjara, kita jagalah. Kemudian dengar kata ada orang nak ambil mereka. Kita jaga, pelihara jangan bagi orang itu ambil kerana kita tak tahu titah mahkamah itu,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa kanak-kanak itu dibawa ke Perlis “sebelum isu surat mahkamah itu sampai ke tangan kita”.

“Surat mahkamah itu antara dia dan suami dia, bukan dialamatkan kepada kita,” katanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memberikan hak jagaan tunggal mutlak kepada Loh pada Mac 2021. Pada Dis 2019, Loh mendapat hak jagaan tunggal interim.

Dalam pada itu, Asri menjelaskan pandangan pihak berkuasa agama Perlis berhubung hak penjagaan anak tidak semestinya memihak kepada orang Islam.

“Kita tak kata sentiasa hak jaga anak itu pergi kepada orang Islam…kita kata siapa yang lebih dapat menjamin kebajikan anak itu.

“Tapi kalau anak itu ‘mumaiyiz’ (sudah dapat membezakan sesuatu yang baik dengan yang buruk) boleh pilih nak pergi kepada ibu yang tak Islam atau bapa yang Islam.”

Beberapa bulan selepas pendaftaran itu, bapa kanak-kanak terbabit masuk penjara atas kes dadah, kata Asri.

Katanya, pihak berkuasa di Perlis tidak ada masalah untuk menyerahkan kanak-kanak terbabit kepada Loh kalau itu yang mereka mahukan.

“Kalau mereka kata kami nak balik kat mak kami, kita tak ada masalah…masalah dia anak-anak itu tak mahu,” katanya.