Maza ramal PN akan runtuh

Maza ramal PN akan runtuh

MENIMBANG ANTARA KEMUDARATAN DAN KEMASLAHATAN

1. Empat hari saya di KL untuk beberapa urusan rasmi. Semalam YAB Perdana TS Muhyiddin Yasin menjemput saya ke rumah beliau. Lama kami berbual. Saya amat berterima kasih atas jemputan itu padahal beliau sehari sebelum itu baru sahaja mendapatkan suntikan vaksin. Kesantunan beliau meruangkan masa serta sungguhan beliau ‘meriwayatkan’ kepada saya keadaan negara, amat saya hargai. Kita doakan semoga beliau sihat dan dapat terus menguruskan kepentingan negara.

2. Saya tahu, jika ada gambar saya dengan orang politik, mesti banyak persepsi dan perspektif yang berbeza kalangan rakyat. Padahal, saya alhamdulillah mempunyai sahabat-sahabat kalangan ahli politik dari semua aliran dan parti.

3.Di sini saya ingin beritahu bahawa hubungan baik saya dengan YAB TSMY bukan kerana beliau menjadi Perdana Menteri. Hubungan baik saya dengan beliau bermula sejak beliau dipecat dari UMNO disebabkan kritikan beliau terhadap Perdana Menteri ketika itu berhubung dengan isu 1MDB. Selepas dipecat, beliau tidak berada dalam kerajaan ataupun parti lagi. Apabila beliau berhasrat ingin bertemu saya ketika itu, dalam keadaan beliau yang diambil tindakan dan diancam dengan pelbagai keadaan politik, saya menziarahi beliau. Di tempat yang sama itulah juga saya duduk semasa menziarahi beliau kali pertama.

4. Walaupun ketika itu saya sudah berjawatan mufti, dan kerajaan yang berkuasa tidak berpihak kepada beliau, saya tetap menzahirkan sokongan saya terhadap ketegasan beliau dan sesiapa sahaja dalam menghadapi isu tersebut. Saya alhamdulillah, setakat ini masih berupaya berbeda pendapat sekalipun dengan mereka yang berada di tampok kuasa. Saya pernah mengkritik kerajaan yang kuat iaitu BN dan juga kerajaan yang baik dengan saya iaitu PH.

5. Sebelum dari TSMY dipecat dari UMNO, saya hanya mengenali beliau seperti kebanyakan rakyat yang lain. Saya tidak mempunyai apa-apa hasrat untuk rapat dengan beliau semasa beliau berkuasa sebagai Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan sebelum itu. Pendirian beliau berhubung dengan isu rasuah sehingga menyebabkan dipecat dari parti dan kerajaan mula menarik perhatian saya. Selepas pertemuan di rumah beliau itu, kami mempunyai hubungan persahabatan yang baik. Sering juga beliau berhubung dengan saya tentang beberapa isu negara.

5. Semasa beliau dalam Kerajaan PH, saya datang lagi ke rumah beliau bagi menyampaikan hasrat Istana Perlis berhubung dengan pembukaan semula zon bebas Wang Kelian, Perlis. Di akhir-akhir hayat Kerajaan PH, saya sering juga berbincang dengan beliau berhubung dengan isu-isu umat Islam yang ditimbulkan oleh sesetengah pimpinan PH yang hampir saban hari. Kenyataan sesetengah pemimpin PH ketika itu begitu menimbulkan ombak kemarahan dan keresahan Umat Islam. Ketegangan kaum dan agama mula nampak meruncing. Hal ini satu pengalaman yang dirasai oleh semua. Saya seperti majoriti rakyat resah walaupun dari segi hubungan saya dengan pemimpin-pemimpin PH agak baik. Saya mula berbeda dengan mereka.

6. Apabila berlaku pertukaran kerajaan, ketegangan kaum dan agama nampaknya mula reda. Cumanya, isu kestabilan kerajaan pula timbul apabila jumlah sokongan di parlimen kelihatan agak kritikal. Dalam meraih sokongan, pelbagai tawaran oleh pihak-pihak yang bersaing mampu menggugat kerajaan sedia ada. Kes-kes di mahkamah menyumbang kepada keadaan ini. Tawaran pihak lain kepada mereka yang terlibat, menjadikan sokongan terhadap kerajaan sedia ada bergoncang. Semalam saya bertanya YAB PM tentang hal itu. Kata beliau: “Saya tidak boleh campur tangan urusan mahkamah. Saya ada agama. Saya ada prinsip. Biarlah perkara itu diputuskan oleh mahkamah”. Saya kata: “Pendirian itu sangat benar, cumanya ia akan diambil peluang oleh pihak yang lain”. Kata beliau: “Itulah cabaran yang saya kena hadapi”.

7. Bagi saya, pentadbiran negara ditimbang antara kemaslahatan dan kemudaratan. Apa yang paling membawa maslahat di sokong. Apa yang membawa mudarat ditolak Jika bertembung antara dua kemudaratan, kita memilih mudarat yang paling ringan. Bukan kerana itu kesukaan kita, tapi kerana hanya itu sahaja pilihan yang ada. Padahal asalnya kita berusaha mencari manakah kemaslahatan yang lebih besar untuk kita capai. Namun, apabila yang tinggal hanyalah manakah kemudaratan yang lebih kecil untuk kita pilih, maka itulah keterpaksaan yang bukan kehendak kita.

8. Suasana politik hari ini bukan impian kita. Namun, kita semua terpaksa berijtihad menentukan pilihan dalam menilai antara mudarat-mudarat yang terbentang dan pengalaman yang kita pernah lalui. Bagi saya, sukar mencari orang politik yang penuh tulus dan ikhlas. Demikianlah juga parti politik. Apa yang boleh kita lakukan adalah menimbang manakah yang kurang mudarat dari segi agama dan urus tadbir kenegaraan. Kemudian, kita berijtihad menyokong yang paling kurang mudarat dengan kadar yang diperlukan sahaja. Bukan kerana kita terlalu suka, ataupun menerima segala tindakan yang dilakukan. Tetapi, kita menimbang antara kemerbahayaan-kemerbahayaan yang ada. Masa depan umat dan negara menjadi kayu ukur kita. Kesemuanya itu akan kita jawab di hadapan ALLAH nanti.

9. Jika yang kurang mudarat bertukar menjadi lebih mudarat pada suatu masa, maka kita juga perlu mengambil pendirian yang berbeza tapi tetap atas prinsip yang sama, iaitu menimbang antara kemudatan dan kemaslahatan bagi umat dan negara.