Mazlan Bujang sah pertahan kerusi DUN Puteri Wangsa
Seorang pemimpin Bersatu Johor membidas Mazlan Bujang berhubung dakwaan bahawa bekas pengerusi Bersatu Johor itu telah menyertai parti dari Sabah, Warisan, yang membuat kemunculan sulung di negeri tersebut.
Solihan Badri yang adalah ketua penerangan Bersatu Johor, menggelar Mazlan seorang oportunis kerana dikatakan membawa masuk Warisan ke negeri itu.
“Bersatu menyifatkan tindakan Mazlan yang sanggup membawa masuk sebuah parti tempatan Sabah konon untuk menawarkan perkhidmatan kepada bangsa Johor, adalah cerminan peribadi beliau yang mementingkan diri sendiri asalkan peruntukan yang disediakan Warisan adalah ‘lumayan’.
“Justeru, bangsa Johor jangan sekali-kali terpedaya dan peduli dengan tawaran Warisan melalui Mazlan serta kumpulannya kerana misi serta objektif parti tersebut tidak menepati aspirasi mahupun keperluan bangsa Johor,” katanya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan Malaysiakini.
Mazlan, yang merupakan penyandang kerusi Puteri Wangsa, mengumumkan keluar daripada Bersatu pada 27 Januari dan menyokong Menteri Besar Johor dari Umno Hasni Mohammad.
Dia dilantik sebagai pengerusi Bersatu Johor pada 2019, namun mengosongkan jawatan itu 17 bulan kemudian. Jawatan itu kemudiannya diambil alih oleh Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.
Pada 16 Feb lalu, Warisan melancarkan Warisan Johor dan mengesahkan penyertaan sulung dalam pilihan raya negeri (Johor) akan datang.
Semasa pelancaran itu, berlaku kesilapan pada salah satu slaid yang memaparkan Mazlan selaku pengerusi Warisan Johor yang baru.
Berhubung hal itu, Solihan mengkritik keputusan Mazlan yang katanya menyertai Warisan dan bukannya Umno, selepas menyatakan sokongan kepada Hasni.
“Bersatu ingin menarik perhatian bahawa pembabitan dengan Warisan membuktikan beliau tidak lagi mendapat perhatian atau tempat di kalangan pemimpin parti-parti utama walaupun pernah menyatakan sokongan terbuka kepada kerajaan BN pimpinan Hasni Mohamad.
“Persoalan yang timbul sekarang, kenapa beliau tidak menyertai Umno dan bagaimana hendak menyatakan perubahan pendiriannya kepada Hasni apabila tidak lagi menyokong menteri besar Johor itu pada PRN 12 Mac ini?
“Kita tidak tahu sejauh mana ketulenan jiwa dan keikhlasan perjuangan individu seperti Mazlan kepada kepentingan bangsa Johor sehingga sanggup membawa aspirasi parti tempatan Sabah untuk ditawarkan kepada bangsa Johor,” katanya.
Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, Mazlan berkata dia sebenarnya belum lagi menyertai Warisan, sebaliknya belum membuat keputusan berkenaan itu dan masih mempertimbangkannya.
“Belum … Tak tahu lagi. Tengok macam mana. Dalam pertimbangan,” katanya.
Mazlan turut menempelak balas Solihan dan Bersatu, dengan mengatakan Solihan dan Muhyiddin sebenarnya individu tidak berprinsip.
“Dia yang tak ada prinsip. Cakap (kepada) dia, Mazlan cakap yang tak ada prinsip (ialah) presiden dia yang menipu mandat rakyat. Itu yang tak ada prinsip,” katanya, merujuk gerakan politik oleh Bersatu pada 2020 yang menumbangkan kerajaan PH di peringkat pusat.
Berkenaan kenyataannya yang menyokong kepemimpinan Hasni, dakwa Mazlan, ia dibuat dalam konteks Hasni sebagai menteri besar, sekaligus merupakan ketuanya sebagai exco Johor.
“Menteri besar saya Hasni. Saya sokonglah Umno. Mereka tak faham benda ini.
“Dia (Solihan) masih exco kerajaan, (jadi) bos dia menteri besar. Sokonglah menteri besar,” katanya.
Tambah Mazlan, meskipun jika dia bertanding dalam PRN nanti, dia masih akan bersikap mesra dengan Umno dan tidak mahu bergaduh dengan siapa-siapa.