MB Perak sahkan kerajaan dah lulus pembinaan jalan pintas Gopeng ke Kuala Kangsar
Kerajaan telah meluluskan cadangan pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE) sepanjang 60 kilometer (KM) yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kelulusan projek yang dibangunkan menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI) itu dibuat oleh Kabinet, semalam.
“Jajaran lebuhraya baharu sejauh 60 kilometer (KM) ini merupakan laluan alternatif ke utara tanpa melalui Terowong Menora di Lebuh Raya Utara-Selatan.
“Sebelum ini, jika berlaku kemalangan di Terowong Menora atau di bawah sana (jalan biasa), pengguna jalan raya tiada pilihan selain menggunakan jalan lama di Chemor dan Sungai Siput.
“Sekarang, mereka sudah ada pilihan lain, dengan WISE mereka boleh ambil laluan dari Kuala Kangsar ke Gopeng. Jika dari utara pula, mereka boleh keluar dari Changkat Jering dan guna laluan WCE (Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat),” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Perak Economic Outlook 2024 di Dewan Bankuet Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, di sini.
Mengulas lanjut beliau berkata, kerajaan negeri bersedia untuk memudah cara pelaksanaan projek berkenaan termasuk daripada aspek perolehan tanah.
“Difahamkan, laluan bagi jajaran baharu ini telah siap dan mereka akan berjumpa dengan Pejabat Tanah dan Galian (PTG). Saya sudah minta PTG untuk mudahkan segala urusan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, kerajaan negeri menerima cadangan berhubung pembinaan jalan pintas ke utara tanpa melalui Terowong Menora sebagai usaha mengurangkan risiko kemalangan jalan raya sehingga meragut nyawa.
Laluan pintas itu akan bermula di Gopeng melalui Batu Gajah, Siputeh, Manong, Tronoh, Beko, Seri Iskandar seterusnya Kuala Kangsar.
Bagaimanapun, projek yang dicadangkan syarikat pemaju kepada kerajaan negeri pada Februari 2021 itu tertangguh pelaksanaannya ekoran beberapa faktor termasuk pembubaran Parlimen.