MB Perak sambut baik tangguh Pilihan Raya Kecil Gerik

MB Perak sambut baik tangguh Pilihan Raya Kecil Gerik

Perak menyambut baik pengisytiharan darurat bagi Parlimen Gerik yang menyaksikan Pilihan Raya Kecil (PRK) sepatutnya diadakan pada 16 Januari depan terbatal serta ditangguhkan.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, ia adalah langkah terbaik dalam usaha membendung wabak Covid-19 selepas mengambil kira pengalaman daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Walaupun pada pendapat kita kawasan Gerik ini adalah zon hijau dan tiada gejala wabak, tetapi tiada apa boleh menjamin pergerakan orang ramai nanti tidak akan membawa apa-apa gejala.

“Saya fikir, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah ambil kira pengalaman yang berlaku di Sabah dan buat keputusan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong agar darurat diisytiharkan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pengerusi UMNO negeri itu berkata, pada masa ini, persediaan awal telah dibuat parti bagi menghadapi PRK Parlimen Gerik.

Katanya, ia termasuk maklumat 11 calon yang akan dipilih untuk bertanding di kerusi itu serta pelantikan ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Memang kita dah siap sedia, tetapi kalau sudah tidak ada PRK, kita akur, kesiapsiagaan itu diteruskan untuk pilihan raya umum yang mungkin diadakan tahun hadapan,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah perkenan isytihar darurat bagi bahagian Parlimen Gerik, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah.

Keperluan Pengisytiharan Proklamasi Darurat berdasarkan Fasal (1) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Parlimen Gerik dan DUN Bugaya yang dijadualkan pada 16 Januari 2021 dibatalkan dan ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditentukan nanti.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, Sabah diadakan serentak pada 16 Januari 2021.

Kerusi Parlimen Gerik kosong susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman (Barisan Nasional) sementara Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah berikutan kematian Allahyarham Datin Manis Muka Mohd Darah dari Parti Warisan Sabah (Warisan).

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/115116/BERITA/Politik/Perak-sambut-baik-tangguh-PRK-Gerik