MCA terus ‘lawan’ dasar kerajaan, desak kerajaan kembalikan GST

MCA terus ‘lawan’ dasar kerajaan, desak kerajaan kembalikan GST

 

KEMBALIKAN cukai barang dan perkhidmatan (GST) untuk menjana sumber pendapatan negara, kata Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di laman Facebook peribadinya.

Dalam hantaran dimuat naik pada Jumaat itu, presiden MCA tersebut turut membuat tiga cadangan untuk Bajet 2024.

Pertama, beliau meminta supaya GST dihidupkan semula.

“Saya telah ulang berkali-kali kepada kerajaan untuk membawa balik GST. Kita tidak boleh bercakap tentang perbelanjaan dalam Bajet tanpa sebarang punca pendapatan. Kembalikan GST,” katanya.

Beliau berkata, jika GST dilaksanakan semula ia boleh dikurangkan daripada 6 peratus kepada 4 peratus.

“Kita juga boleh mempunyai penarafan sifar, senarai pengecualian dan membolehkan pemberian tunai sambil menambah baik mekanisme,” tambahnya.

Beliau turut membangkitkan kebimbangan daripada perusahaan mikro kecil dan sederhana, yang menghadapi kesan terburuk akibat ketidakseimbangan kos pas-lalu (ICPT), yang menyaksikan pelarasan tarif elektrik dan peningkatan cuti bersalin pekerja daripada 60 kepada 98 hari.

Beliau menggesa kerajaan menurunkan ICPT, kerana mereka yang dalam industri mengalami perbelanjaan dan kos lebih serta cuti bersalin yang lebih lama.

“Seterusnya, kerajaan perlu memudahkan proses pengambilan pekerja, terutamanya untuk sektor 3D,” katanya.

Mengenai cadangan ketiganya, Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berkata, pengecualian cukai individu sebanyak RM9,000 perlu dinaikkan kepada RM12,000 berikutan kadar inflasi.

Dengan berbuat demikian, kumpulan M40 dan T20 akan mempunyai ruang untuk bernafas, katanya.

Tambahnya, jika kedua-dua kumpulan ini mempunyai lebih banyak pendapatan, ia boleh digunakan untuk perbelanjaan dan perniagaan tidak akan merudum.

“Jika mereka berbelanja lebih, ia akan memberi kesan berganda. Apabila seorang penjual nasi lemak mendapat tambahan RM100, dia boleh membeli timun, ikan bilis dan bekalan lain.

“Jadi, RM100 itu boleh didarabkan menjadi RM1,000. Inilah yang kita mahu lihat dari segi kesan ekonomi kepada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

Ka Siong juga menggesa kerajaan merujuk kembali Model Ekonomi Baru Malaysia yang diterbitkan pada 2010 dalam perancangan Bajet 2024.

“Walaupun berusia 13 tahun, model itu mempunyai lapan SRI (Inisiatif Pembaharuan Strategik) dengan hala tuju dasar strategik yang jelas,” katanya.

Katanya, beliau berharap Malaysia akan maju dan muncul lebih kukuh dari segi pertumbuhan ekonomi, tidak seperti pertumbuhan 2.9 peratus yang dicatatkan pada suku kedua.