Mekanik Malaysia bikin gempak, modified kereta Wira jadi kereta Batman, cuma perlu kos RM100,000 sahaja
Kenderaan enam tayar dicetuskan sekumpulan peminat permotoran Bambush Revamp Motorsport (BRM) sejak lima tahun lalu itu dilengkapi pintu hidraulik automatik dikendalikan alat kawalan jauh.
Presiden BRM, Jai Prakash, berkata setakat ini kos ubah suai kereta itu mencecah lebih RM100,000 menggunakan enjin VR4 turbo bersesuaian dengan bentuk dan kini hampir 70 peratus selesai.
Menurutnya, kenderaan itu direka khas bagi tujuan pameran automotif dan ia akan dipamerkan di Amerika Syarikat pada Mac tahun depan dalam usaha mengetengahkan kreativiti mekanik tempatan di peringkat global.
Katanya, ketika ini mereka masih meneliti penambahan yang perlu dilakukan menerusi idea ahli kelab sebelum memuktamadkannya untuk dipamerkan kepada orang ramai.
“Kadang kala ada bahagian yang kita sudah pasang terpaksa ditukar kepada konsep lain selepas menerima cadangan daripada ahli dan kami bercadang reka bentuk itu dipatenkan”.
Beliau berkata kepada pemberita pada majlis perasmian kereta konsep BRM sempena Majlis Makan Malam Gala 20 Tahun BRM, kelmarin.
BRM ditubuhkan pada 2003 dan setakat ini terdapat 147 ahli aktif dari Pulau Pinang, Johor Bharu dan Lembah Klang yang terbabit dengan aktiviti pameran automotif, konvoi dan drift.
Pelancaran disempurnakan Pengarah Pembangunan Sukan dan Rekreasi Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Nor Azli Mohamad Daud.
Nor Azli berkata, KBS sentiasa menyokong perkembangan sukan permotoran di negara ini dan buktinya pada tahun lalu kerajaan membelanjakan RM3 juta untuk pembangunan dan penganjuran program pameran automotif.
Katanya, usaha menghasilkan kereta konsep Batman ini adalah suatu idea yang menarik kerana ia dihasilkan oleh mekanik tempatan.
Beliau berkata pengurusan BRM mungkin boleh berbincang dengan KBS supaya dapat mengadakan kerjasama bagi mengetengahkan kereta konsep terbabit.
Katanya, pameran automotif dan bidang permotoran bukan hanya setakat dapat memenuhi minat penggemar, malah mampu menjana ekonomi peniaga dan negara.