Melangkah 2021 dengan harapan

Melangkah 2021 dengan harapan

1. Sebelum 2020 melabuh tirai, adalah wajar untuk kita mengutip peristiwa sepanjang tahun untuk dibuat pengajaran bagi tahun mendatang. Ia akan menjawab cabaran yang terpaksa kita tangani bersama dalam membentuk kecekalan diri rakyat dan kepimpinan negara.

2. Sejak Jan 2020, dunia dikejutkan dengan penularan virus tercetus dari pasar Wu Han pada Disember 2019. Ia merebak pantas secara kontak keseluruh dunia sehingga Pertubuhan Kesihatan Dunia telah isytiharkan penularan ini sebagai satu Pandemik pada March 2020. Virus Covid-19 mula ‘menyerang’ di seluruh pelusuk dunia.

3. Tahun 2020 membawa ‘badi’ pendemik bersamanya dan dunia menanggung krisis ini sepanjang tahun sehingga melumpuhkan Eropah, Benua Amerika, Asia dan Afrika. Dianggarkan kerugian akibat covid 19 ialah USD 15 trilion, manakala sektor pelancongan yang menggerakkan aktiviti antara benua dianggarkan kerugian USD 460 billion. Semua pintu masuk negara-negara di tutup hampir sepanjang tahun 2020 mengakibatkan sektor pengangkutan udara dunia kerugian USD 84.3 bilion. Malaysia sahaja mengalami kerugian RM 19 bilion.

4. Malaysia amat terkesan dengan ‘penangan’ covid -19, dianggarkan negara kehilangan pasaran modal di Bursa sebanyak RM303 bilion sejak Jan 2020. Kegiatan import eksport menguncup memberi kesan kepada sektor pembuatan yang bergantung kepada penghasilan komponen ke luar negara. Kesan pembuangan, pemberhentian dan pengurangan tenaga kerja menyebabkan kitaran ekonomi domestik terjejas.

5. Dunia dikejutkan juga dengan krisis politik yang melanda dunia. Antara lain ialah tergantungnya legaslatif atau pengurangan peranan lantas memberi kuasa penuh kepada ketua eksekutif membuat keputusan. Di sini persoalan demokrasi vs autokrasi secara nisbinya mencetuskan krisis politik nasional dunia. Kepimpinan negara seluruh dunia teruji tentang cara bagaimana pandemik diuruskan melibatkan krisis ketidakpercayaan antara rakyat dan pemimpin meningkat.

6. Keputusan sukar terpaksa diambil termasuk pengisytiharaan darurat atas nama mengatasi pendemik telah mencetuskan krisis politik berterusan sepanjang 2020. Isu teras tentang kebebasan sivil, pelebaran diskriminasi kaum, agama dan peluasan kuasa kerajaan menjadi fenomena sosial yang memberi impak kepada proses politik dan populariti pemimpin besar negara dunia.

7. Di Malaysia, kejutan 23 Februari 2020 melalui langkah TSMY dan konconya telah membawa ‘sial politik’ kepada negara. Rakyat diheret di celah krisis pendemik satu konspirasi pembelotan terhadap mandat rakyat. Tindakan PPBM dan kelompok kartel DS Azmin Ali dari PKR adalah lambang pengkhianatan terhadap erti kesetiaan dan kesetiakawanan.

8. Pelanggaran terhadap asas demokrasi berparlimen yang mewajibkan majoriti sebagai keabsahan berkuasa gagal dibuktikan oleh kerajaan PN. Begitu juga sogokan jawatan kepada rakan kongsi PAS UMNO dll telah mencemari integriti kerajaan yang tidak fokus kepada menguruskan pendemik. Krisis ketidakpercayaan menjejaskan hubungan rakyat dan institusi politik. PH yang dirampas haknya berhempas pulas cuba mengembalikan haknya.

9. Dunia 2021 adalah medan meluaskan HARAPAN kepada semua kemelut pendemik, ekonomi dan politik dunia. Hikmahnya ialah dunia semakin sedar betapa perlunya dasar kelestarian (sustainable policies) adalah jalan menangani masalah secara jangka panjang. 17 Agenda Dasar Kelestarian perlu dicapai segera dengan semua dunia dituntut menghayati dan merangkulnya dalam dasar pengurusan negara. Dunia juga wajib menamatkan penindasan kaum dan agama dengan memartabatkan Karamah Insaniah (Kemuliaan Manusiawi) sebagai dasarnya. Peperangan yang menjejaskan keperluan pendidikan generasi masa hadapan, keperluan infra asas dan keperluan memelihara institusi wanita, rumahtangga perlu dihentikan segera.

10. Tahun 2021 adalah masa percubaan kepada keberkesanan vaksin covid . Ia akan menimbulkan juga jurang antara negara miskin dan kaya dalam menikmati hak mendapat vaksin. Syarikat farmaseutikal paling mendapat laba terbesar walaupun vaksin ini masih di peringkat percubaan manakala persaingan sengit China dan Amerika berebut untuk sembuh lebih cepat akan menimbulkan pula krisis vaksinisasi yang memberi kesan kepada geo-politik dunia.

2021 adalah juga masa dunia terpaksa menggunakan pendekatan adaptasi kepada norma baharu antaranya ialah menerima kenyataan covid 19 dan evolusinya akan berada dalam masyarakat dunia untuk jangka masa yang panjang lagi. Kita belum membicarakan apakah akan berlaku kepada dunia terhadap isu perubahan iklim yang akan memberi kesan kepada krisis kebuluran, peningkatan jurang kemiskinan dan krisis ekonomi berterusan.

Apapun HARAPAN adalah kunci kepada membentuk ketahanan, jati diri dan kestabilan ekonomi politik dan kita harus optimistik setiap kesusahan akan ada kesenangan dan jalan keluar.

DS Dr Mujahid Yusof Rawa
Naib Presiden AMANAH
Ahli Parlimen Parit Buntar

31hb Disember 2020

Sumber: https://www.facebook.com/420621651310007/posts/3636655329706607/?d=n