Melawak di Dewan Negara, senator Pas mengaku buat silap

Melawak di Dewan Negara, senator Pas mengaku buat silap

Senator PAS Mohd Apandi Mohamad menyatakan beliau tidak ‘pukul rata’ semua drama dan filem Korea membawa pengaruh bunuh diri, sebaliknya masih ada banyak faktor lain.

Apandi berkata, terdapat beberapa drama atau filem dari negara itu mampu menjadi faktor kepada kes bunuh diri memandangkan ia popular terutama dalam kalangan remaja.

“Saya khuatir mereka (remaja) terbawa-bawa dengan elemen negatif. Saya bukan kata drama atau filem Korea ini menjadi pencetus, tetapi cuma sebahagiannya saja kerana ada lagi faktor lain yang membawa kepada tindakan bunuh diri.

“Oleh kerana filem atau drama itu popular ia boleh mempengaruhi, lebih-lebih lagi apabila ia adalah drama bersiri, ada yang sampai terbawa-bawa,” katanya kepada FMT.

Tidak menyangka kebimbangan yang disuarakan menjadi isu sensasi sehingga menerima pelbagai kritikan, Apandi menjelaskan beliau tidak bermaksud menghukum semua drama atau filem dari Korea.

Katanya, tidak dinafikan terdapat karya dari negara itu yang bagus ditonton.

“Saya pun tidak sangka apa yang saya utarakan itu menjadi berita sensasi, saya bukan kata penggiat seni di Korea tiada menghasilkan filem bagus, maksudnya cuma sebahagiannya saja, ada juga filem dan drama mereka bagus,” katanya.

Beliau berkata, dalam mendepani masalah itu ibu bapa perlu memainkan peranan memantau apa ditonton oleh anak-anak terutama remaja dan kanak-kanak yang mudah terpengaruh.

“Ianya begini… menonton biar ada tapisan, perlu ada pantauan ibu bapa,” katanya.

Terdahulu, Apandi dikecam warganet dan seorang Ahli Parlimen kerana mendakwa drama dan filem Korea boleh dipersalahkan atas kes bunuh diri dalam kalangan remaja.

Apandi dilaporkan berkata di Dewan Negara semalam bahawa hampir setiap filem atau drama keluaran Korea Selatan mengandungi unsur bunuh diri dan remaja di negara ini terpengaruh dengannya.

Mengulas kenyataan Apandi itu, Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii bertanya drama Korea mana yang ditonton senator itu, sambil menambah, beliau tidak menangani isu utama yang mendorong insiden bunuh diri.

Apandi turut menerima kritikan keras daripada warganet dengan ada yang menyifatkannya sebagai satu “jenaka”.

Sumber – FMT