Melawan Covid19, masanya untuk kerajaan yang benar-benar merakyat

Melawan Covid19, masanya untuk kerajaan yang benar-benar merakyat

1. Hari ini, 13 Oktober 2020, YB Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. Pertemuan ini penting dalam mengembalikan mandat rakyat yang dikhianati pada bulan Mac yang lalu. Kita mendoakan yang terbaik. Pendirian AMANAH konsisten sedari dulu; segala peluang yang ada untuk mengembalikan mandat rakyat perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

2. Selama 22 bulan Pakatan Harapan memerintah negara sebelum ini, sebanyak 60% manifesto yang telah dilaksanakan dan dalam proses pelaksanaan. Antarannya menghilangkan beban GST, kadar tol yang lebih murah, menstabilkan harga minyak, caruman KWSP untuk pasangan, Pas Perjalanan Rapid Tanpa Had My100 kepada pengguna pengangkutan awam di Lembah Klang dan Pas Mutiara kepada rakyat Pulau Pinang.

3. Jika ‘Langkah Sheraton’ yang terkutuk itu tidak berlaku, tahun 2020 merupakan fasa yang kritikal untuk kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan baki 40% daripada kandungan manifesto PRU-14 dengan sasaran dapat ditunaikan sekurang-kurangnya sebelum tahun 2023. Malangnya itu tidak berlaku. Perikatan Nasional tidak hanya melantik menteri yang ramai dengan ‘gaji buta’, bahkan SOP COVID-19 pun jelas punya aturan ‘double standard’ antara pemimpin dan rakyat biasa.

4. Pandemik COVID-19 telah menundukkan ekonomi global. Sebilangan pakar ekonomi mengatakan ini mungkin akan menjadi seburuk Zaman Meleset (Great Depression) yang melanda pada penghujung 1920-an sehingga 1930-an. Dengan jangkaan situasi terburuk, keutamaan paling ulung adalah memastikan keperluan seluruh rakyat dipenuhi.

5. Kerajaan bukan sahaja perlu memastikan bekalan makanan mencukupi untuk seluruh penduduk, bahkan perlu memastikan semua keluarga (termasuk yang terjejas oleh pemberhentian pekerja) mempunyai pendapatan untuk membeli barangan asas yang diperlukan mereka. Bermakna, kerajaan harus melancarkan skim faedah pengangguran yang akan memastikan setiap keluarga mempunyai wang untuk mendapatkan makanan, tempat tinggal dan rawatan kesihatan.

6. Seterusnya mempertingkatkan jaminan makanan. Malaysia menunjukkan prestasi yang kurang memuaskan dari segi jaminan makanan (food security). Import beberapa makanan teras bergantung kepada pembekal tunggal seperti Thailand untuk beras import dan Australia untuk daging import. Negara kita terdedah kepada risiko terputus bekalan makanan asas disebabkan sumber import yang tidak pelbagai. Kita perlu merangka strategi menyeluruh untuk makanan seperti di negara jiran, yang walaupun tidak mengeluarkan makanan sendiri telah meletakkan dasar jaminan makanan yang tersusun dengan rakan dagang yang pelbagai.

7. Terakhir ialah kesediaan untuk membuat suntikan fiskal yang lebih besar sekiranya keadaan ekonomi semakin memburuk. Defisit fiskal Malaysia yang dijangka 6% KDNK pada tahun 2020 masih rendah berbanding negara-negara lain yang mengharungi wabak COVID-19, dengan itu Malaysia masih mempunyai keanjalan untuk bertindak bagi memastikan keadaan ekonomi rakyat terpelihara.

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional