Meletakkan Nazlan sebagai hakim kes SRC bukannya satu kebetulan – Zaid

Meletakkan Nazlan sebagai hakim kes SRC bukannya satu kebetulan – Zaid

Seorang bekas menteri undang-undang meminta Mahkamah Persekutuan “memandang serius” permohonan Najib Razak untuk membatalkan sabitannya dalam kes SRC International disebabkan hakim perbicaraan yang didakwa mempunyai konflik kepentingan.

“Jika terdapat sedikit pun keterangan – dan pihak berkuasa sepatutnya dapat mengesahkan ini dengan mudah – itu membuktikan terdapat konflik kepentingan di pihak hakim yang mensabitkan Najib, maka sabitan itu mesti dibatalkan,” kata Zaid Ibrahim kepada FMT.

Jika sememangnya wujud konflik kepentingan, maka hakim perbicaraan Nazlan Mohd Ghazali sepatutnya menarik diri, begitu juga dengan beberapa hakim lain dalam kes berkaitan Najib.

Zaid berkata, soalan perlu dibangkitkan tentang bagaimana Nazlan dijadikan hakim dalam kes SRC International, dan mengapa. Beliau turut menyeru Majlis Peguam untuk bersuara.

Nazlan ialah hakim perbicaraan yang mensabitkan Najib ketika kes SRC International dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Najib membangkitkan nama Nazlan atas dakwaan konflik kepentingan dan mengarahkan pasukan peguamnya memohon untuk mengemukakan keterangan baharu dalam perbicaraannya.

Permohonan Najib dibuat susulan laporan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka siasatan mengenai sejumlah lebih RM1 juta yang tidak dapat dijelaskan dalam akaun bank Nazlan.

Nazlan menafikan dakwaan itu dan membuat laporan polis berhubungnya.

Peguam Najib Shafee Abdullah juga mendakwa Nazlan gagal mendedahkan peranan, penglibatan atau pengetahuannya dalam penubuhan SRC International ketika beliau berkhidmat sebagai peguam dan setiausaha syarikat bagi Maybank Group pada 2006.

Zaid berkata, dakwaan mengenai Nazlan, Maybank Investment, SRC dan 1MDB, jika benar, akan menyebabkan beliau tidak sesuai untuk memutuskan kesalahan Najib dalam kes SRC International.

“Jika memang terbukti wujud konflik kepentingan, maka soalan perlu ditanya mengenai siapa yang meletakkan beliau (Nazlan) di sana (untuk kes SRC International) dan mengapa,” tambahnya.

“Orang ramai mempersoalkan mengapa Nazlan dipilih sebagai hakim untuk perbicaraan SRC sedangkan beliau bukan hakim jenayah.

“Saya rasa Majlis Peguam, yang sebelum ini meminta hakim asal SRC Sofian Abd Razak menarik diri atas kemungkinan konflik kepentingan, juga harus bercakap mengenai isu ini.”

Terdahulu, empat hakim menarik diri dalam kes sebelum ini melibatkan Najib dan 1MDB atau SRC.

Pesuruhjaya kehakiman Quay Chew Soon, Liza Chan dan Adlin Abdul Majid menarik diri daripada saman sivil 1MDB terhadap Najib atas alasan kemungkinan konflik kepentingan, manakala Mohd Arief Emran Arifin menarik diri daripada saman sivil SRC terhadap Najib.