Menang anugerah Personaliti Sukan Paling Dipercayai di Malaysia Reader’s Digest 2023, ketahui kriteria pemilihan penganjur terhadap Datuk Nicol David

Menang anugerah Personaliti Sukan Paling Dipercayai di Malaysia Reader’s Digest 2023, ketahui kriteria pemilihan penganjur terhadap Datuk Nicol David

Legenda skuasy wanita negara, Datuk Nicol David dinobatkan sebagai pemenang anugerah Personaliti Sukan Paling Dipercayai di Malaysia Reader’s Digest 2023, semalam.

Berkongsi penghormatan itu dalam Facebook rasminya, Nicol, 39, berkata beliau amat bangga kerana telah diundi dalam kategori ini sehingga membuktikan kerjaya, ketelusan dan perwakilannya dipercayai oleh semua rakyat Malaysia.

“Saya rasa sungguh istimewa selepas empat tahun bersara dan seperti yang anda tahu kehidupan dan tumpuan penuh kini terhadap yayasan saya dalam pembangunan akar umbi dalam sukan tersebut.

“Terima kasih Malaysia, anda terus memberikan saya kebahagiaan dan terima kasih Reader’s Digest,” katanya, memetik laporan Harian Metro.

Bekas ratu skuasy negara itu turut menyebut bagaimana ibu bapanya percaya terhadap sikap boleh dipercayai lebih penting daripada gelaran, justeru anugerah yang diterima malam tadi merupakan salah satu pencapaian terbesar dalam hidupnya.

“Saya amat rendah hati bahawa Malaysia dapat melihat nilai ini dalam diri saya dan akan terus berusaha gigih untuk menyumbangkan kembali kepada negara yang telah banyak memberi sumbangan dan sokongan terhadap saya,” kata bekas juara dunia sebanyak lapan kali itu.