Menang banyak tapi gagal tubuh kerajaan antara ciri-ciri parti yang tak dapat redha Allah – Zahid Hamidi

Menang banyak tapi gagal tubuh kerajaan antara ciri-ciri parti yang tak dapat redha Allah – Zahid Hamidi

Mana-mana parti yang menjadikan agama sebagai tunggangan mereka tidak akan mendapat keredaan Allah, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Memetik MalaysiaGazette, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ia telah terbukti apabila terdapat parti yang memenangi banyak kerusi  dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) lalu tapi  gagal membentuk kerajaan.

Jelasnya, perkara itu berbeza dengan UMNO yang mempunyai jumlah kerusi yang sedikit tetapi  menjadi sebahagian daripada kerajaan di Putrajaya.

“Kalau siasah jadi matlamat dan Islam jadi tunggangan biarpun kerusi yang diperoleh banyak tetapi tidak jadi kerajaan kerana tidak ada reda daripada Allah.

“Biarpun sedikit tapi kita (UMNO) jadi kerajaan maka gunakan kedudukan itu bukan untuk menzalimi sesiapa  sebaliknya kita mahu menjaga Islam dengan benar.

“Kita (UMNO) tidak pernah menyalahgunakan ayat Al-Quran, ijmak ulama untuk kepentingan politik yang sangat sempit. Kalau kita berniat memperkuatkan agama kalau kita menjaga Allah, dia pasti menjaga kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Liqa’ Perdana Ilmuan Ahli Sunnah Wal Jamah bersama Timbalan Perdana Menteri, di Sri Satria, malam tadi.

Ahmad Zahid bagaimanapun tidak memperincikan secara jelas parti mana yang dimaksudkan.

Beliau mendakwa, sebelum ini UMNO pernah dicabar oleh seorang pemimpin politik sehingga sanggup membubarkan partinya jika UMNO menukar perlembagaan parti dengan meletakkan Islam di hadapan.

Bagaimanapun, selepas  berbuat demikian UMNO tetap dilabelnya sebagai jahil.

“Apabila saya diberikan kesempatan untuk memimpin sebuah organisasi politik dan saya pernah dicabar jika parti saya menukarkan pelembagaanya kepada perlembagaan Islam maka parti yang bersaing itu akan dibubarkan, itu fatwa daripada Allayarham,” katanya tanpa menyebut siapa individu berkenaan.

Dalam acara sama, Ahmad Zahid turut menasihatkan agar ulama yang terjun dalam  politik agar tidak menggunakan ayat-ayat al-Quran serta hadis mengikut selera masing-masing,

Katanya, terdapat ulama yang menggunakan istilah-istilah tertentu bagi mensucikan niat tertentu.

“Apabila ulama jadi ulama politik, maka ayat Quran, hadis dan makna yang sama tetapi ditafsir berbeza mengikut selera.

“Mana mungkin sesuatu yang di luar daripada norma sebagai sedekah kerana nak justifikasi apa yang dilakukan itu benar, sedangkan ia amat nyata kesesatannya” katanya.

Biarpun tidak menyebut nama mana-mana pihak, ucapan Ahmad Zahid itu dipercayai merujuk kepada kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa pengagihan wang oleh segelintir individu kepada pengundi ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah sedekah.

Menurut Presiden Pas itu, pemberian tersebut adalah hak orang awam yang ingin memberikan sumbangan.