Menantikan mesyuarat MKT berakhir, blogger politik ini kongsikan rasional perlantikan TPM selepas 15 bulan kerajaan PN tertubuh
SAAT pemerhati dan peminat politik fokus kepada Umno, menanti kejutan yang dikatakan akan berlaku dalam parti itu hari ini, tiba-tiba Mahiaddin Md Yassin umumkan Ismail Sabri Yaakob (foto) sebagai Timbalan Perdana Menteri. Kejutan dari Umno berpidah ke luar Umno?
Dalam satu kenyataan ringkas dikeluarkan pejabat perdana menteri, turut diumumkan Hishammuddin Hussein sebagai menteri kanan dengan mengekalkan porfolio sebagai Menteri Luar Negeri.
Hishammuddin juga akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini dipegang oleh Ismail Sabri. Mulai esok muka Hishammuddin akan muncul mengumumkan apa-apa maklumat, arahan dan perintah terbaru oleh MKN.
Alasan pelantikan Ismail Sabri itu menurut kenyataan PMO itu untuk memenuhi keperluan rakyat dalam negara menghadapi krisis keselamatan dan ekonomi waktu ini. Ertinya Mahiaddin melihat ada kebolehan itu daripada Ismail Sabri?
Pelantikan itu mengakhiri zaman “single” Mahiaddin, dan beliau tidak boleh bertahan dengan “poligami” dengan bantuan empat menteri kanan sebagai pembantunya dan terpaksa juga mempunyai seorang timbalan perdana menteri yang bakal menjalankan tugas-tugas rasminya semasa beliau tidak berupaya melakukannya, semisalnya sakit dan sebagainya. Apakah Mahiaddin sekarang ini sedang diheret cirit birit yang panjang?
Apabila baru hari ini, setelah 15 bulan kerajaan PN ditubuh, baru TPM dilantik, tentu ia menjadi tanda tanya. Walaupun ia dibuat atas alasan memenuhi kehendak rakyat demi negara ia tidak mudah diterima seadanya alasan itu. Tentu ada hal-hal menghambat dan mendesak beliau sehingga memaksa beliau melantik TPM.
Sebelum ini ada orang lain dilihat berminat dengan jawatan berkenaan, malahan tokoh itu dikatakan pernah menggunakan kemudahan (prasarana) di JPM yang selalu diguna TPM sebelum ini untuk suatu urusan kerjanya. Apakah Mahiaddin sudah berunding dengan tokoh itu? Apakah tokoh itu sudah merelakannya? Atau rela dalam paksa?
Kelayakan.
Dalam hal ini, pemerhati politik melihat, pelantikan Ismail Sabri itu jauh daripada kelayakan beliau berada disitu apabila diukurkan kepada pengalaman dan track record pengkhidmatannya. Apa lagi bagi memenuhi kehendak rakyat dalam aspek ekonomi. Apakah kehandalan Ismail Sabri dalam aspek ekonomi dan iktisad serta diplomatik. Seorang TPM perlu memiliki segala keperluan selengkapnya.
Masih ada tokoh lain jauh lebih berkelayakan dan dilihat sesuai, seperti Musatapa Mohamed, Annuar Musa atau Hishammuddiin Hussein sendiri untuk dilantik sebagai TPM.
Jika diukur dari segi pengalaman dan senioriti, Ismail Sabri jauh lebih junior berbanding dengan Mustapa, Annuar atau pun Hishammuddin. Mungkin ia dibuat berdasarkan kedudukan dalam parti.
Justeru pelantikan Ismail itu lebih dilihat kerana kedudukannya sebagai Naib Presiden Umno, tokoh yang dilihat kanan selepas Zahid Hamidi dan Mohamad Hassan. Ismail Sabri adalah Naib Presiden Umno yang mendapat undi terbanyak.
Berdasarkan hujah itu, tampaknya Mahiaddin membuat pelantikan itu untuk menyelamatkan dirinya. Beliau melihat Ismail Sabri adalah aset (dan alat) untuk dirinya bukan sangat kepada negara dan rakyat. Umum tahu, kedudukan Mahiaddin dan kerajaannya waktu ini sangat bergantung kepada sokongan Umno. Lantaran pelantikan itu dikira boleh bantu memperkukuhkan kedudukannya daripada membantu kerajaan dan rakyat keluar daripada kemelut kini.
Kebelakangan ini sudah nampak cula yang Ismail Sabri lebih bersimpati dengan Mahiaddin daripada presiden partinya sendiri. Cara bercakap, kenyataan tidak sehaluan dan kadang-kadang bercanggah dengan Zahid sudah berlaku. Itu tanda-tanda bahawa Ismail Sabri lebih loyalist kepada perdana menteri daripada presiden parti.
Tidak boleh tidak orang akan menyoal apakah pelantikan Ismail Sabri itu mendapat restu daripada Zahid Hamidi atau tidak. Sepatutnya sebagai orang diluar PBBM, Mahiaddin perlu mendapat “perkenan” ketua parti Ismail Sabri terlebih dahulu.
Apabila dilihat kepada pelantikan beberapa menteri daripada Umno sebelum ini yang bukan atas restu atau pilihan Zahid, jelas pelantikan Ismail Sabri itu tidak melalui Zahid. Ia melan
gkau Zahid dan parti. Mungkin ia dibuat kerana persetujuan secara peribadi antara Ismail Sabri dengan Mahiaddin tanpa mempedulikan naluri Zahid.
Atau pun mungkin juga ada tindakan menanam tebu di bibir mulut dengan Zahid. Kita sedia maklum dua malam lepas berlangsung pertemuan Zahid dengan para pemimpin Umno yang diadakan di premis Kementah di Wisma Perwira. Timbul persoalan kenapa pertemuan parti diadakan di premis kepunyaan Kementah, yang mana Ismail Sabri sebagai menterinya bukan di ibu pejabat Umno, di PWTC.
Kesediaan Zahid untuk menghadiri pertemuan di Wisma Perwira itu sudah dilihat janggal dan menunjukkan Zahid tewas dan seakan sudah mengaku kalah. Dan apakah solusi dicapai dalam pertemuan itu apa diumumkan Mahiaddin hari ini? Mungkin.
Sesungguhnya pelantikan Ismail Sabri itu bukan untuk rakyat dan negara. Ia lebih kepada untuk kepentingan politik Mahiaddin. Pelantikan itu juga dilihat sebagai persediaan untuk Mahiaddin menghadapi persidangan parlimen hujung bulan ini. Justeru pelantikan Ismail Sabri itu tetap akan menjadi isu dan pertikaian. Tengoklah selepas ini.
Ahli-ahli Umno (MT) yang dikatakan sudah bersetuju untuk Umno menarik balik kerjasama dengan kerajaan PN,(paling lambat apabila parlimen dibubar) akan mempertikaikan pelantikan Ismail Sabri itu. Kecualilah pelantikan itu telah berlaku persefahaman baru antara Mahiaddin dengan Umno khususnya Zahid Hamidi. Kalau tidak, pelantikan itu akan jadi polemik dan mengusut-kusaikan lagi keadaan.
Secara peribadi saya yakin ada “persefahaman” baru sedang disusun antara Umno dengan Mahiaddin. Kalau tidak masakan semudah itu Umno menerima pelantikan Ismail Sabri. Kalau tidak masakan Mahiaddin berani bertindak begitu.
Hal lebih besar mungkin Ismail Sabri sudah mendapat pengakuan dan sokongan daripada ahli Parlimen Umno. 28 orang ahli Parlimen Umno yang dikatakan menanda-tangani SD menyokong Hishammuddin mungkin dijadikan modal oleh Ismail Sabri untuk dilantik menjadi TPM.
Tegasnya walaupun pelantikan itu seakan berlangsung dengan baik, pasti juga ada hati-hati tertentu dalam PN memendam rasa dengan pelantikan. Kalau pun ia tidak disunggutkan waktu ini, tetapi tentu rasa pedih itu terpendam di hati. Tugas berat Mahiaddin untuk mengawal perasaan dan “mengisih”kan hal ini. Apa yang ditunggu juga apakah Umno redha dan terima pelantikan Ismail Sabri itu?
Apapun tahniah kepada Ismail Sabri kerana dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. Beliau adalah ahli Parlimen yang menjadi TPM Malaysia yang ke-10. Dan orang Kelantan tentu turut merasa bangga dengan pelantikan itu kerana Ismail Sabri adalah berketurunan Kelantan.
[wm.kl. 5:57 pm 07/07/2021]