Mengaku bersalah hina agama di pentas komedi, mahkamah denda Siti Nuramira RM8,000 atau empat bulan penjara

Mengaku bersalah hina agama di pentas komedi, mahkamah denda Siti Nuramira RM8,000 atau empat bulan penjara

 

Mahkamah Sesyen, hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM8,000 terhadap Siti Nuramira Abdullah, wanita tular di media sosial kerana menanggalkan baju kurung dan tudungnya ketika membuat persembahan di sebuah kelab komedi.

Hakim, N Priscilla Hemamalini, membuat keputusan itu selepas Siti Nuramira, 27, menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan dan memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal bayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pilihan, wanita berkenaan dengan sengaja berniat melukakan perasaan agama orang lain dengan menyebut bahawa dirinya seorang Muslim, menghafal 15 juzuk al-Quran dan kemudian bertindak membuka tudung serta menanggalkan baju kurung sewaktu persembahan atas pentas.

Kesalahan dilakukan di Restoran Crack House Comedy Club, Tingkat 1, 24 Lorong Rahim Kajai 14, Taman Tun Dr Ismail, Brickfields, 4 Jun 2022, mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK).

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau dengan kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Siti Nuramira mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu sebelum peguam belanya, R Sivaraj, merayu anak guam layak mendapat hukuman ringan berbentuk denda kerana menjimatkan masa mahkamah serta adalah kesalahan pertama.

Peguam itu berkata, Siti Nuramira baru berkahwin empat bulan lalu dan mahu kehidupan aman.

Terdahulu, pada 13 Julai 2022, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 298A(1)(a) KK iaitu perbuatan boleh menyebabkan suasana tidak harmoni di atas alasan agama antara orang yang menganut agama sama.