Mengaku ikut ajaran sesat gara-gara bekas kekasih, Pablo Amirul mahu berubah

Mengaku ikut ajaran sesat gara-gara bekas kekasih, Pablo Amirul mahu berubah

Pelakon Pablo Amirul mengakui sebagai manusia biasa, dia tidak lari daripada melakukan kesilapan selepas mendedahkan dirinya mengikuti ajaran sesat Millah Abraham.

Menurut laporan BH Online, pelakon berusia 37 tahun itu sudah mengambil pengajaran dan berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan tindakannya sebelum ini.

 

 

“Saya masih lagi dalam siasatan polis dan memberi kerjasama kepada jabatan agama Islam. Apa yang berlaku ini jadikan pengajaran dan mungkin sebab untuk saya berubah menjadi lebih baik.
“Orang ramai boleh beri pandangan atau kecam kerana saya tak kisah. Saya ini hanyalah manusia dan berserah kepada Allah.
“Kalau saya buat kesilapan, janganlah ikut. Jadikan, ia sebagai pengajaran dan berubah kepada kehidupan lebih baik. Saya boleh katakan saya hanyalah lelaki biasa,” katanya.

Difahamkan, Pablo seolah-olah hilang sabar terhadap bekas teman wanita yang dipercayai menjadi punca dia mengikuti ajaran tersebut.

 

“Saya buat sebegitu kerana hilang sabar dan itu juga mungkin boleh berlaku kepada mana-mana lelaki. Saya sendiri tidak malu mengakui apa yang sudah dilakukan.
“Apa sahaja yang berlaku selepas ini saya akan hadap. Saya juga mahu mengingatkan sesiapa sahaja yang muat naik video saya tanpa kebenaran supaya hentikan.
“Ini kerana anda sudah mencabuli privasi saya. Berikan saya ruang kerana masih dalam siasatan,” ujarnya lagi.

Tambah pelakon filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu, dia berhasrat ingin  berubah ke arah lebih baik sekali gus dapat melupakan kesalahan yang lalu.

 

“Kita lupakan apa yang berlaku dan terus pandang ke depan. Saya juga tidak terkesan dengan apa diperkatakan manusia.
“Apa yang penting, saya dapat reda daripada Allah kerana tidak sempurna. Doakan saya dapat terus berbakti dalam industri perfileman negara,” luahnya.

Sebelum ini, pemilik nama Amirul Hisyam Mohd Sakri itu mengamuk mengenai bekas kekasihnya yang didakwa bertugas sebagai juruterbang telah ‘dibela’ oleh seorang ahli kenamaan.

Pada masa sama, dia turut mendedahkan dirinya sudah dua tahun mengikuti ajaran sesat berkenaan disebabkan oleh wanita terbabit.