Mengarut!!! Undi 18 : Dibantah masa nak pilih ketua kerajaan, tetapi boleh setuju pula masa nak pilih ketua keluarga

Mengarut!!! Undi 18 : Dibantah masa nak pilih ketua kerajaan, tetapi boleh setuju pula masa nak pilih ketua keluarga

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan agar semua pihak meneliti Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan yang membenarkan perkahwinan bawah umur dengan syarat tertentu.

Menurutnya, isu perkahwinan bawah umur tidak seharusnya memfokuskan mengenai topik perkahwinan semata-mata sebaliknya perlu dilihat dalam kerangka yang lebih luas.

“Isu ini perlu dilihat dalam kerangka besar. Perkahwinan kanak-kanak ini dalam Islam, umur 16 tahun ini biasa.

“Yang penting bukan perkahwinan yang kita perlu tengok, isu eksploitasi (kanak-kanak) saya setuju tetapi jangan lihat perkahwinan sahaja. Ada juga yang menjadikan kanak-kanak alat untuk cari derma.

“Saya fikir yang penting semua pihak harus meneliti dan setuju dengan enakmen majlis agama Islam Kelantan yang menerima umur 16 tahun (untuk berkahwin) tapi dengan syarat-syarat dan kes tertentu.

“Ada kes yang kita kena terima (dibenarkan berkahwin). Kita tak boleh nak halang, mereka bukan nak berzina tapi nak berkahwin. Kalau kata kahwin muda akan bercerai, berapa ramai orang tua yang bercerai,” katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini pada Rabu lalu.

Isu perkahwinan kanak-kanak hangat diperkatakan selepas negara digemparkan dengan pernikahan seorang lelaki berusia 41 tahun dari Gua Musang, Kelantan dengan kanak-kanak berumur 11 tahun.

Pada masa ini, kanak-kanak perempuan bawah 16 tahun dan lelaki bawah 18 tahun dibenarkan berkahwin jika mendapat kebenaran mahkamah syariah.

 

Bagi bukan Islam pula, golongan itu perlu mendapatkan kebenaran khas ketua menteri atau menteri besar negeri berkaitan.

Dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2002, Seksyen 8 berkaitan umur minimum untuk perkahwinan menyebut, tiada perkahwinan boleh diakad nikah di bawah enakmen berkenaan jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika hakim syarie telah memberi kebenaran secara bertulis dalam keadaan tertentu.

Pemimpin PAS antaranya Naib Presiden serta Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berpendapat usaha untuk mengharamkan terus perkahwinan melibatkan kanak-kanak bawah umur sebagai ‘bertentangan dengan Islam’ dan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Kerajaan kini sedang merangka standard operasi piawaian (SOP) bagi mahkamah syariah untuk memperketatkan peruntukan berkaitan perkahwinan kanak-kanak dan kerajaan turut cenderung untuk mengharamkan terus perkahwinan kanak-kanak.

Malah, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh juga menggesa agar kerajaan meningkatkan umur minimum pernikahan kepada 18 tahun.

Masih awal menilai Mujahid

Sementara itu, ditanya mengenai prestasi menteri agama Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, bekas pensyarah itu berkata masih terlalu awal untuk beliau menilai tanggungjawab yang digalas bekas anggota PAS berkenaan.

 

Namun beliau menyarankan agar Mujahid memelihara serta memperkukuhkan institusi agama Islam di negara ini berbanding bimbang terhadap agama lain.

“Tanggungjawab menteri agama ialah memelihara institusi agama Islam, agama rasmi bukan sibuk dan jaga, bimbang agama lain tapi tak bimbang pada agama Islam.

“Kritikan, komentar terhadap agama Islam kini sangat melampau. Saya fikir menteri agama berperanan untuk perkasa agama Islam, institusi agama di negara kita,” ujarnya sambil menggesa agar Mujahid turut memperkasakan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

PAS sedia bantu kerajaan

Selain itu, ditanya sama ada PAS masih lagi bersedia membantu kerajaan untuk memperkasakan Jakim, Tuan Ibrahim berkata pihaknya terbuka bagi memberi sebarang pandangan dan komitmen.

“Kalau ada kluster untuk membantu memberikan pandangan, PAS bersedia. PAS akan sokong HARAPAN selagi mana tak bercanggah dengan syarak dan tak merugikan Islam.

 

“Kita akan bantu perkara yang membawa kepada kebaikan dan takwa,” katanya.

Sebelum mengakhiri wawancara, Tuan Ibrahim turut memberitahu agar cara pemikiran rakyat kini perlu berubah dan tidak terikat dengan cara lama.

Ini termasuk rakyat perlu melihat pembangkang kini bukan seperti sebelum ini yang hanya membangkang tetapi mereka turut sedia bekerjasama bersama kerajaan asalkan ia tidak bercanggah dengan syarak.

“Kita mungkin perlu bagi masa pada kerajaan baru untuk buktikan kejayaan. Kalau mereka gagal, rakyat akan tunjukkan (dalam pilihan raya akan datang).

“Cara berfikir kita kena berubah, bukan terikat dengan sistem lama. PAS bersedia bersama kerajaan HARAPAN dalam perkara tak bercanggah syarak, tak merugikan bangsa, negara.

“Kita akan beri kerjasama tapi jika perkara itu merosakkan, bercanggah dengan syarak, kita tidak akan berkompromi. Prinsip ini kita tegaskan dengan semua kerajaan bukan sahaja dengan HARAPAN tapi termasuk semasa BN dahulu,” katanya lagi. – MK