‘Menjaga Cintamu’, hadiah Siti Nurhaliza terhadap Wan Azizah

‘Menjaga Cintamu’, hadiah Siti Nurhaliza terhadap Wan Azizah

Mesej cinta, kesetiaan dan pengorbanan wanita cukup menyentuh perasaan penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Lantas, lamaran produser dan pengarah filem Anwar: The Untold Story mendendangkan lagu runut bunyi (OST) berjudul Menjaga Cintamu ciptaan Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara tidak sesekali dilepaskan.

Lebih manis, impian Siti bekerjasama dengan komposer terkenal Indonesia, Andi menerusi lagu Menjaga Cintamu tercapai.

Siti berkata, walaupun menyanyikan lagu OST filem Anwar: The Untold Story, tetapi karya ini menggambarkan kesetiaan dan pengorbanan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Saya terima tawaran menyanyikan lagu Menjaga Cintamu kerana yakin dengan kekuatan lagu ini. Ia bukan hanya gambaran kesetiaan Dr Wan Azizah, tetapi secara amnya, untuk wanita yang setia mencintai pasangan.

“Saya amat tertarik dengan mesej dalam lagu ini. Saya faham lirik lagu Menjaga Cintamu ini lebih kepada pengorbanan seorang isteri dan cinta yang tiada tolok bandingan.

“Saya juga mendapat penerangan mengenai filem Anwar: The Untold Story. Proses perbincangan juga berjalan dengan lancar,” katanya, memetik Berita Harian.

Siti bersama Zunar dan Viva Westi ketika penggambaran video muzik, baru-baru ini.
Berkongsi pengalaman rakaman di studio,

Siti berkata, proses rakaman lagu Menjaga Cintamu hanya sejam dan Andi sendiri menjaga vokal dan menerbitkannya.

“Ia satu pengalaman baharu. Saya akui tetap gementar kerana kali pertama bekerja dengan Andi dan menyampaikan lagu ciptaan komposer hebat sepertinya.

“Saya sebenarnya berdepan cabaran menyampaikan lagu Menjaga Cintamu. Ini kerana suara saya masih dalam proses pemulihan akibat kesan jangka panjang virus COVID-19.

“Namun, saya sudah berusaha sebaiknya untuk menyampaikan lagu ini dengan sebaiknya. Proses rakaman dilakukan di Cranky Music, milik komposer Aubrey Suwito, baru-baru ini,” katanya.

Mengulas perbezaan bekerja dengan komposer Indonesia seperti Andi, Siti berkata, setiap kali masuk studio, ia adalah pengalaman berharga buatnya.

“Saya bersyukur sering menyanyikan lagu-lagu komposer Indonesia. Jadi, sedikit sebanyak saya sudah memahami cara mereka bekerja. Apabila menyampaikan lagu, mereka memberi tunjuk ajar dan pastinya mahu yang terbaik, begitu juga Andi.

“Saya merakamkan lagu Menjaga Cintamu selama sejam. Andi terkejut kerana biasanya proses rakaman membabitkan selama dua jam atau lebih.

“Namun, lagu Menjaga Cintamu memang mudah menyerap dalam hati, jadi saya dapat menyanyikan dalam tempoh singkat,” katanya.

Selain Malaysia, filem terbitan Bianglala Entertainment itu turut menjalani penggambaran di Indonesia.