Menjelang pengundian belanjawan, Syed Saddiq lobi Najib!

Menjelang pengundian belanjawan, Syed Saddiq lobi Najib!

Bekas Menteri Belia dan Sukan (KBS) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Malaysia perlu membudayakan dwipartisan demi kepentingan negara.

Ini selepas Ahli Parlimen Muar itu bertemu Najib Razak di kediaman bekas perdana menteri itu hari ini.

“Saya sentiasa percaya dwipartisan.

“Dahulu ketika berkhidmat di KBS sebagai kerajaan, dapat bekerjasama dengan Datuk Seri Najib berkenaan #Undi18. Sejarah baru tercatat apabila tiga pindaan perlembagaan berjaya diluluskan dan 7.8 juta pengundi muda diangkat.

“Kini, bila di kerusi pembangkang pula, bincangkan soal #Belanjawan2021. Malaysia perlu membudayakan dwi-partisan. Tidak salah untuk semua duduk semeja demi kepentingan negara,” katanya dalam satu hantaran Facebook sebentar tadi.

Najib turut berkongsi beberapa keping gambar yang diambil ketika pertemuan itu dalam Facebook.

“Ada tetamu datang rumah hari ini. Bertukar pandangan. Bincang dan nasihat,” tambah Najib dalam hantaran di Facebook.

Syed Saddiq bertanding pada PRU14 atas mewakili Bersatu sebelum bertindak menyokong kem Dr Mahathir Mohamad ketika parti itu berpecah antara bekas perdana menteri itu dan penggantinya Muhyiddin Yassin.

Namun, Syed Saddiq tidak menyertai parti Dr Mahathir iaitu Pejuang, sebaliknya menubuhkan parti baru dikenali sebagai Muda.

“Banyak yang dibincangkan tadi.

“Isu KWSP, pelanjutan moratorium, isu Cukai Durian Runtuh, peruntukan RM85 juta Jasa, kebajikan mahasiswa dan lain-lain.

“Saya dan Muda percaya perbincangan dengan ahli Dewan Rakyat dari mana-mana parti adalah sebahagian dari tugas politik.

“Ketepikan ego politik dan cari jalan terbaik untuk negara,” kata Syed Saddiq lagi.

Sumber: Malaysiakini