Menteri Agama akan keluar kenyataan berkait Ibadat Haji beberapa hari lagi

Menteri Agama akan keluar kenyataan berkait Ibadat Haji beberapa hari lagi

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi bagi memperincikan perihal ibadat haji.

Beliau dijangka mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu dalam beberapa hari sahaja lagi, selepas mengadakan perbincangan tersebut.

Zulkifli berkata, beliau berhasrat untuk ke Arab Saudi bagi melihat sendiri tahap kesediaan penghantaran jemaah haji.

“Masalah ini insyaAllah kita akan bincangkan dengan kerajaan Arab Saudi.

“Saya sendiri bercita-cita dan bercadang pergi ke Arab Saudi melihat pelbagai isu terutamanya umrah masa ini dan ibadah haji pada tahun ini.

“InsyaAllah dalam beberapa hari lagi saya akan beri kenyataan yang tuntas kerana kita sekarang dalam proses mengadakan perbincangan,” katanya ketika hadir pada majlis Pelepasan Misi Bantuan Banjir Ke Jerantut, Pahang anjuan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dengan kerjasama GOGOPASAR Agro Fresh Technology Group SDN. BHD.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas sama ada kerajaan akan membenarkan jemaah melakukan ibadat haji pada tahun ini memandangkan kursus haji secara online akan bermula minggu ini.    

Sebelum ini Zulkifli menjangka beberapa syarat dan caj tambahan baharu akan dikenakan kepada bakal haji pada musim akan datang (1442H/2021M).

Jelasnya, ini kerana pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dan langkah keselamatan yang lebih ketat dikuatkuasakan oleh kerajaan Arab Saudi. – MG