Menteri Air akan teliti permohonan RM1.7 billion Kerajaan Kelantan

Menteri Air akan teliti permohonan RM1.7 billion Kerajaan Kelantan

Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang meneliti permohonan kerajaan Kelantan mendapatkan peruntukan RM1.7 bilion bagi mengatasi masalah air terawat di negeri berkenaan.

Menterinya Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kementerian itu akan memastikan masalah air di Kelantan menjadi antara keutamaan untuk diselesaikan.

“Kita sudah lihat perancangan strategik kerajaan negeri khususnya menerusi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang melibatkan permohonan RM1.7 bilion untuk menyelesaikan masalah air… jadi kita akan teliti terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Sumbangan Kit Kelengkapan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 Kedai Gunting di The Jangots Barbershop Cawangan 2 di sini hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demit Datuk Mumtaz Md Nawi.

Terdahulu, Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menyampaikan sumbangan kit SOP Covid-19 Kedai Gunting kepada 30 pengusaha kedai gunting bagi Parlimen kawasan itu secara berperingkat.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata terdapat tiga isu utama dialami Kelantan yang menyebabkan berlaku masalah bekalan air terawat, antaranya pengurangan air tidak berhasil (NRW) agak tinggi, yang memerlukan penukaran paip.

“Selain itu, sumber bekalan air yang tidak mencukupi serta kekangan proses untuk membuat loji-loji baharu. Bagi penukaran paip, ia telah termasuk dalam perancangan dan sebahagiannya telah pun dilaksanakan,” katanya. – FMT