Menteri cuba alih perhatian warga maya, tunjuk laporan kerja di facebook
Tempoh menjalani rawatan Covid-19 merupakan peluang terbaik untuk muhasabah diri, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal ehwal agama) Zulkifli Mohamad.
“Tempoh masa yang dikurniakan Allah SWT pada ketika ini memberi peluang untuk saya bermuhasabah, dan meneliti ruang-ruang penambahbaikan untuk masa mendatang.
“Saya dari lubuk hati yang benar-benar ikhlas, sekali lagi memohon maaf atas apa yang berlaku,” katanya dalam satu catatan di Facebook hari ini.
Meskipun sedang menjalani rawatan, Zulkifli berkata dia tetap memegang amanah dan tanggungjawab dalam melaporkan sebarang perkembangan tadbir urus hal ehwal Islam di peringkat persekutuan.
“Justeru, saya lampirkan di sini Kad Laporan Bulan Ogos 2020 bagi agensi -agensi di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Setiap sen yang dibelanjakan bagi sebarang bentuk urusan terkait tadbir urus Islam di peringkat Persekutuan adalah amanah daripada rakyat.
“Jadual saya pada bulan Ogos, kebanyakannya tertumpu di Parlimen. Pun begitu, alhamdulillah agensi-agensi di bawah saya amat memahami dan tetap menggerakkan program masing-masing dengan penuh komited.
“Kad laporan ini tidaklah melaporkan keseluruhan program dan aktiviti semua agensi di bawah saya. Saya sarankan anda merujuk terus ke media sosial setiap agensi untuk mendapatkan maklumat lanjut,” tulisnya.
Semalam, Zulkifli mengesahkan dijangkiti Covid-19 dan memaklumkan perkara itu menerusi kenyataan di media sosialnya.
Pada masa sama senator itu juga menasihatkan orang ramai yang menghadiri majlis melibatkan kehadirannya antara 24 Sept hingga 4 Okt lalu agar menjalani pemeriksaan saringan Covid-19 di mana-mana klinik kesihatan dengan segera.
“Kepada semua rakyat Malaysia, saya kini menjalani rawatan kerana disahkan positif Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Alhamdulillah, sehingga saat ini keadaan kesihatan saya adalah baik,” katanya.
Sumber : Malaysiakini