Menteri kata tiada permohonan kenaikan yuran IPTS diluluskan

Menteri kata tiada permohonan kenaikan yuran IPTS diluluskan

Tiada sebarang permohonan kenaikan yuran daripada institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) diluluskan bagi tempoh 1 Jun lalu hingga kini, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Menterinya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, ini bagi memastikan kebajikan penuntut serta akses kepada pendidikan tinggi terjamin selain mengekalkan daya saing IPTS.

“IPTS dikawal selia di bawah Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 dan diuruskan oleh syarikat yang diperbadankan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Ia mempunyai Lembaga Pengarah Syarikat sendiri.

“Selaras itu, penetapan kadar yuran IPTS adalah di bawah tanggungjawab Lembaga Pengarah Syarikat berpandukan kepada kadar yang diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya ketika menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri S. Vell Paari.

Vell Paari bertanyakan mengenai bilangan universiti awam dan swasta yang sudah mengurangkan atau membatalkan sebahagian yuran pengajian berikutan penularan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Noraini berkata, semua universiti awam turut memberi pengurangan yuran pengajian sekurang-kurangnya 15 peratus bagi semester kedua sesi akademik 2019/2020 dan semester pertama sesi akademik 2020/2021.

“Pengurangan tersebut dilakukan setelah mengambil kira keupayaan kewangan kerajaan dan universiti awam.

“Seramai 523,318 pelajar universiti awam di seluruh negara mendapat manfaat daripada keputusan ini, manakala langkah sama juga diteruskan bagi semua universiti awam untuk pengajian semester pertama sesi 2020/2021,” katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/12/655529/tiada-permohonan-kenaikan-yuran-ipts-diluluskan-sejak-jun