Menteri KDN dedah penyerang polis tak pernah pergi sekolah, keluarga pula suka kafirkan orang

Menteri KDN dedah penyerang polis tak pernah pergi sekolah, keluarga pula suka kafirkan orang

 

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada semalam mendedahkan sebahagian dapatan yang diperoleh hasil daripada siasatan membabitkan kematian dua anggota polis di Ulu Tiram, Johor.

Beliau dalam sidang media menyebut tentang ‘kafir mengkafirkan’, menjelaskan bahawa ahli keluarga suspek tidak suka bercampur dengan orang, selain sering menganggap orang di sekelilingnya kafir.

Siasatan turut mendapati, suspek yang mati ditembak itu tidak ke sekolah dan tidak bercampur dengan masyarakat.

“Perbuatan mengkafirkan orang boleh membawa kemusnahan dahsyat. Daripada segi agama pun tidak betul dan tidak boleh mengkafirkan orang sewenang-wenangnya.

“Siasatan mendapati, suspek tidak sekolah dan bercampur dengan orang pun tidak.

“Jadi, apa sahaja berkait dengan kerajaan dianggap kafir dan dia juga tidak bercampur dengan orang luar,” katanya.

Saifuddin berkata, fokus siasatan polis terhadap kes itu bukan sahaja tertumpu kepada pelaku semata-mata, namun turut membabitkan penghasut (individu terdekat suspek).

Katanya, perbuatan mengkafirkan orang lain memberi implikasi besar termasuk boleh memutuskan silaturahim sesama agama serta membawa implikasi buruk lain kepada masyarakat dan negara.