Menteri KDN tampil solusi babitkan isu kesesakan di Pejabat Passport dan di KLIA

Menteri KDN tampil solusi babitkan isu kesesakan di Pejabat Passport dan di KLIA

Isu kesesakan di Pejabat Passport dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) terus menjadi rungutan di kalangan pelanggan yang berurusan di premis tersebut.

Tanpa menunggu lama, Menteri KDN hari ini tampil memanggil satu mesyuarat khas bagi mencari solusi terbaik bagi mengurangkan masalah tersebut.

Ia dikongsikan menteri tersebut, Datuk Seri Saifuddin Nasution di dalam laman FBnya hari ini.

Saya membaca rungutan di media sosial serta aduan yang disampaikan sendiri kepada saya terkait isu kesesakan di Pejabat Pasport dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Petang tadi saya memanggil satu mesyuarat khas bersama-sama Dato’ Sri Wan Ahmad Dahlan Haji Abdul Aziz (Ketua Setiausaha), Dato’ Sri Khairul Dzaimee Daud (Ketua Pengarah Imigresen), Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat JIM, Pengarah JIM KLIA, Pengarah JIM Selangor, Pengarah JIM Kuala Lumpur, Pengarah Bahagian Pasport serta pengurusan tertinggi KDN dan Imigresen.

Mesyuarat telah mengambil beberapa ketetapan berhubung isu kesesakan di pejabat passport dan di KLIA.

Bagi kesesakan di kaunter Imigresen untuk tujuan membuat pasport, langkah awal yang diambil untuk mengatasinya adalah:
1. Penambahbaikan sistem temujanji online yang akan diberi tarikh dan masa temujanji berserta nombor giliran.
2. Penambahan mesin pencetak passport di pejabat passport yang sesak dan mempunyai kadar pengunjung yang tinggi
3. Pejabat Passport KLIA turut beroperasi sebagai Pejabat Pengeluar Passport bagi kes segera dan kecemasan selain daripada permohonan biasa.
4. 20 Pejabat Pengeluar Passport selain dari UTC akan beroperasi 7 hari seminggu bermula 27 Januari 2023 ini

Isu Pelawat Asing beratur panjang di KLIA pula berpunca daripada ketibaan pesawat secara serentak sekitar 20 hingga 26 buah dalam jarak masa antara 5 hingga 10 minit ketika waktu puncak. Selain itu, pemeriksaan mengikut prosedur bagi memastikan pelancong asing tulen yang memenuhi syarat Pas Lawatan Sosial sahaja dibenarkan masuk turut dikaitkan sebagai faktor kesesakan ini berlaku.

Bagi mengatasi isu ini, beberapa langkah segera akan diambil, antaranya:
1. Kajian perluasan penggunaan autogate kepada pelawat dari 10 buah negara yang berisiko rendah dilaksanakan segera.
2. Pengwujudan dua kumpulan Quick Response Team (QRT) yang akan mula beroperasi pada 01 Februari 2023 bagi membantu pegawai-pegawai di kaunter semasa waktu puncak.

Saya menghargai peranan pegawai-pegawai JIM yang telah memberikan komitmen dalam tugasan ini dan saya juga mengalu-alukan cadangan serta pandangan masyarakat bagi mencari jalan keluar agar isu ini tidak dibiarkan berterusan.

#MalaysiaMadani #DemiPertiwi