Menteri Kewangan sahkan tiada peruntukan untuk sekolah menengah persendirian Cina

Menteri Kewangan sahkan tiada peruntukan untuk sekolah menengah persendirian Cina

Tiada peruntukan disediakan untuk sekolah menengah persendirian Cina dalam Belanjawan 2021.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam jawapan bertulis kepada Anggota Parlimen Kulai Teo Nie Ching bertarikh 15 Disember.

Ketika pembentangan Belanjawan 2019, kerajaan PH dikritik apabila memperuntukkan RM12 juta untuk sekolah persendirian Cina dan menambah RM6 juta lagi bagi tiga kolej universiti.

Bagaimanapun, PH membidas kritikan tersebut dengan menyatakan peruntukan itu diberikan bagi menyelenggara fasiliti sekolah serta merangkumi pelbagai jenis sekolah lain.

Bagi Belanjawan 2021, dana penyelenggaraan sekolah dilihat berbeza dan telah dinyatakan secara terperinci oleh Malaysiakini di sini.

Secara keseluruhan, peruntukan bagi penyelenggaraan dan penambahbaikan sekolah dinaikkan kepada RM800 juta, meningkat daripada RM735 juta pada tahun 2020.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, peruntukan untuk penyelenggaraan sekolah tahfiz, Sekolah Agama Rakyat dan sekolah pondok agama berdaftar tidak dibiayai oleh kementerian pendidikan tetapi secara terus melalui kementerian kewangan.

Bagaimanapun, kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah menyingkirkan institusi pendidikan swasta daripada skop belanjawan kali ini.

Dong Zong: MCA tidak akan kecewakan kami

Sementara itu, Presiden Dong Zong Tan Tai Kim memberitahu Malaysiakini bahawa pihaknya akan meminta Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong dan Timbalan Menteri Pendidikan, Mah Hang Soon untuk memujuk kerajaan supaya mengekalkan peruntukan itu.

Tan berkata, hal ini kerana kerajaan telah memperuntukan RM100 juta bagi penyelenggaraan sekolah tahfiz, sekolah agama bantuan kerajaan (Sekolah Agama Rakyat) dan sekolah pondok agama berdaftar

“Kami amat kecewa. Kami percaya mereka (pemimpin MCA Wee dan Mah) tidak akan kecewakan kami. Mereka akan gesa (peruntukan itu) dalam kerajaan,” kata Tan.

Presiden Jiao Zong Cheah Lek Aee juga memberitahu Malaysiakini bahawa dasar PH untuk membiayai sekolah persendirian Cina dan tiga universiti itu merupakan dasar bermanfaat.

“Malah, kerajaan negeri seperti Selangor, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Sarawak dan negeri-negeri lain telah mengumumkan bahawa mereka akan membiayai sekolah-sekolah persendirian Cina dalam Belanjawan 2021. Ini sangat terpuji.

“Jadi, kerajaan persekutuan patut mengikuti dasar kerajaan negeri ini, ia akan membantu memajukan pendidikan negara,” tambahnya.

Cheah juga berkata, ketiga-tiga universiti swasta itu juga memerlukan bantuan ekoran kekangan kewangan selepas terkesan akibat wabak Covid-19.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/556283